Laman Utama arrow Monumen
Monumen & Tapak Bersejarah Negeri Selangor
   

ISTANA BANDAR 

Image

 

STOR PELURU

Image


Monumen : Stor Peluru

Daerah : Kuala Langat

Mukim : Bandar Jugra

Luas : 2469 meter persegi
 

Stor Peluru merupakan tempat atau ruang penyimpanan kelengkapan perang khususnya peluru-peluru ataupun alat-alat bedilan. Kedudukannya berhampiran dengan bekas Pejabat Daerah Lama dan Tempat Bakar Kayu Arang( kini tinggal tapak sahaja). Secara keseluruhannya bangunan ini berbentuk ‘Dome’ yang dibina dari bahan simen dan mempunyai sebuah pintu.  

Ia juga dilengkapi dengan lubang udara berfungsi untuk peredaran udara di dalam ruang simpan peluru tersebut. Dilihat dari segi geografi, tempat ini terletak berhadapan dengan aliran Sungai Langat yang dapat mempermudahkan proses pengangkutan peluru ke kawasan-kawasan yang berhampiran mahupun ke tempat penyimpanan.

 


KOTA RAJA MAHADI 

Image

Kota ini telah dibina oleh Raja Mahadi Ibni Almarhum Raja Sulaiman pada tahun 1866. Kota ini telah terlibat dalam 2 siri perang saudara pada kurun ke -19. Perang saudara pertama telah terjadi berpunca dari penganugerahan Sungai Klang serta kawasan-kawasan di kedua tebing sungai tersebut kepada Raja Abdullah Ibni Almarhum Raja Jaafar.  Di bawah pentadbiran beliau, bekas kawasan kepunyaan Raja Sulaiman, bapa Raja Mahadi ini menjadi kaya raya. Kemakmuran yang di capai oleh Raja Abdullah telah membuatkan Raja Mahadi iri hati lalu menuntut haknya ke atas bekas kawasan bapanya itu.

Pada tahun 1866 tercetuslah perang saudara pertama di antara kedua pihak. Raja Mahadi telah membuat tempat pertahanannya di bukit ini.
Beliau mendirikan benteng daripada tanah serta melengkapkannya dengan meriam-meriam dari Kuala Selangor. Kotanya yang kukuh ini telah menolong beliau dalam perang tersebut. Setiap serangan telah dapat dipatahkan. Perang saudara ini berjalan selama 1 tahun sehinggalah Raja Abdullah mengundurkan tenteranya. 


Perang saudara kedua telah berlaku pada tahun 1868 apabila Tengku Kudin dari Kedah datang sebagai orang tengah dalam pergaduhan tersebut. Raja Mahadi menolak usaha untuk berdamai lalu Tengku Kudin dengan tenteranya telah menyerang dan mengalahkan Raja Mahadi yang bertahan di Kota ini. Tengku Kudin telah menawan kota ini dan menjadikan ia sebagai tempat kediaman beliau hingga ke tahun 1898. Pada tahun masihi 1899 meriam-meriam di kota ini telah dipindahkan untuk menghiasi Istana Mahkota Puri yang terletak di tapak Istana Alam Shah, Klang sekarang.

 


PERIGI LAMA JUGRA


Monumen : Perigi Lama Jugra

Daerah : Kuala Langat

Mukim : Bandar Jugra


Tapak Perigi Lama Jugra ini terletak di kaki Bukit Jugra, kira-kira 200 meter dari Bangunan Muzium Tapak (Insitu) Jugra, Kuala Langat. Tapak Perigi Lama ini di jumpai semasa kerja-kerja survei arkeologi di jalankan pada bulan November 2001. Di sekitar tapak ini terdapat beberapa unit perigi lama yang dipercayai digunakan sebagai sumber air pada masa dahulu.  Di kawasan tapak ini juga dipercayai terdapatnya runtuhan banguan berdasarkan jumpaan sebahagian kecil tembok atau dinding batu yang masih elok semasa kerja-kerja carigali dijalankan pada tahun 2003. Selain jumpaan tembok batu tersebut, jumpaan-jumpaan lain seperti serpihan seramik, tembikar, porselin dan logam juga telah ditemui.    


MAKAM SAIYID MANSOR


Image

Allahyarham Saiyid Mashor Bin Mohd Ash-shahab adalah seorang pahlawan melayu yang terkenal dengan kehandalannya dan merupakan tokoh yang memainkan peranan penting dalam perang saudara di Selangor pada tahun ( 1868 – 1873 ) yang berpunca dari persengketaan mengenai perebutan kuasa di kalangan Kerabat Diraja Selangor.Allahyarham juga turut membantu Pembesar-pembesar Pahang dalam peperangan menentang kekuasaan British. Makam ini merupakan Monumen Lama dan Tapak Tanah Besejarah yang telah diwartakan dibawah akta Benda Purba 1976 pada 11 September 1980 dangan nombor warta P.U. (A) 261. 


MASJID SULTAN ALAEDDIN


Image

Masjid ini telah dibina dalam Kampung Bandar pada tahun 1924 oleh Almarhum Sultan Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa. Masjid ini telah dirasmikan oleh baginda pada tahun 1926. Dan pernah dijadikan Masjid Negeri Selangor pada zaman itu. Ia dibina atas ilham baginda sendiri dan baginda sering membaca khutbah jumaat di masjid ini. Dari segi rekabentuk masjid ini menerima pengaruh dari kerajaan Deli, Medan. Ini berkemungkinan di Sumatera Utara selain daripada ajaran agama islam, unsur-unsur senibina dan sosial masyarakat dari daerah tersebut telah diterapkan pada senibina masjid.


PENJARA LAMA JUGRA

Image

Penjara Jugra atau dahulu dikenali sebagai Rumah Pasung ini terletak dalam daerah Kuala Langat. Ia merupakan penjara pertama di Negeri Selangor dan dibina daripada batu granit yang amat unik. Dibina pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad sekitar 1870-an semasa Jugra menjadi pusat pemerintahan Kesultanan Selangor. Pada masa sekarang hanya tinggal beberapa bahagian tembok binaan yang masih kukuh dan penjara ini telah dibaikpulih dan dipelihara oleh pihak Lembaga Muzium Selangor.



PEJABAT LAMA DAERAH JUGRA


Image

Bangunan yang merupakan bekas Pejabat Daerah Kuala Langat terletak di lereng Bukit Jugra dan berhampiran dengan Sungai Langat. Bangunan ini dibina pada tahun 1876 dan dibina daripada batu granit dan mempunyai dua tingkat. Atapnya pula adalah jenis yang sama dengan atap yang digunakan di Istana Jugra. Bangunan ini merupakan pusat pentadbiran pada zaman pemerintahan Inggeris. Ia juga memberi bukti dan gambaran berhubung dengan sistem pemerintahan Inggeris di Selangor. Pejabat Daerah ini telah digunakan sebagai pusat pentadbiran yang menguruskan hal-hal berkaitan dengan kewangan dan perundangan negeri. Di dalam bangunan ini juga terdapat bank dan mahkamah yang bertujuan untuk mempermudahkan pengurusan. Bangunan ini perlu di pulihara supaya dapat dijadikan salah satu kawasan yang memperlihatkan kesan dan tinggalan penjajahan Inggeris khususnya di daerah Kuala Langat dan Selangor amnya.



MAKAM DIRAJA LAMA JUGRA

Image

Makam Diraja Jugra merupakan sebahagian dari bukit Jugra yang telah dipilih sebagai kawasan permakaman keluarga Diraja Selangor pada sekitar tahun 1886. Kawasan ini juga di kenali sebagai kompleks Makam Diraja dan secara keseluruhanya, kawasan permakaman ini berpagar. Antara makam yang terdapat dalam Kompleks ini adalah Makam Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Tengku Abdullah yang telah mangkat pada bulan Februari 1898.

Memerintah dari tahun 1859 hingga 1898, Manakala makam-makam lain yang telah terletak dibahagian luar Kompleks antaranya adalah Makam Almarhum Tengku Muda Musa, Makam Almarhumah Tunku Alfah binti Almarhum Sultan Yaakob, Almarhum Tunku Maharum, Almarhum Raja Berkat, Makam Almarhumah Tengku Muteh Ibni Sultan Abdul Samad dan Yang Mulia Raja Kahar. Makam Sultan Abdul Samad terletak di atas Bukit Jugra meliputi kawasan seluas 5 ekar, terdapat antara lain binaan kompleks Makam DiRaja Jugra yang mana merupakan makam Sultan Abdul Samad.

GEDUNG RAJA ABDULLAH

Image

Sebuah bangunan dua tingkat bercirikan senibina Inggeris dan mempunyai persamaan dengan Bangunan Balai Polis di Kota Bharu, Kelantan. Dibina oleh Raja Abdullah di Pekan Batu Klang di tebing Sungai Kelang pada tahun 1865 sebagai tempat kediaman dan menyimpan bijih timah. Raja Abdullah adalah merupakan wakil Sultan yang diperintahkan mengutip hasil dan memperdagangkan bijih timah yang dihasilkan di Lembah Klang.

Semasa berlaku Perang Saudara pada tahun 1866 di kawasan ini, rumah ini telah dijadikan sebagai kubu pertahanan orang-orang Raja Mahadi yang berkubu di Kota Raja Mahadi yidak jauh dari kawasan ini. Residen Inggeris Pertama J.G Davidson menjadikan Gedung ini sebagai Pusat Pentadbiran Daerah yang kemudiannya dijadikan Balai Polis Daerah hingga tahun 1970 dan dijadiakan Muzium Timah dan kini dalam proses pembaikpulih.



KOTA MALAWATI


Image

Kota Malawati terletak di atas sebuah bukit di belakang Pekan Kuala Selangor dan bukit tersebut dikenali sebagai ‘Bukit Selangor’. Di atas bukit itu juga terdapat kompleks makam - makam Sultan Selangor yang terdiri dari Makam Sultan Salehuddin, Sultan Selangor yang pertama (1756-1779), Makam Sultan Ibrahim Syah, Sultan Selangor yang kedua (1778-1826) dan Makam Sultan Muhammad Syah, Sultan Selangor yang ketiga (1826-1857) serta makam keluarga di raja yang lain.

Berhampiran dengan kota terdapat Rumah Api dan beberapa buah rumah kediaman pegawai-pegawai kerajaan manakala bangunan yang hampir sekali dengan benteng kota tersebut ialah Menara Pemancar Radio dan Rumah Rehat Kerajaan.

Pelawat-pelawat yang ingin melawat kota yang bersejarah ini boleh menggunakan jalan bertar dari Pekan Kuala Selangor menuju ke puncak bukit tersebut. Bagi yang gemar berjalan kaki, mereka boleh mendaki dari Pekan Kuala Selangor, para pelawat boleh berkereta hingga sampai ke pinggir kota.

Kota Malawati berbentuk segiempat dibuat daripada timbunan tanah dan ketul-ketulan batu pejal yang disusun oleh tukang-tukang kayu yang mahir. Luas kota tersebut adalah kira-kira 74m x 30m, benteng kota ditambak dengan tanah kira-kira 2m tingginya dari paras dalam kota dan pada batang sebelah timur bahagian luarnya disusun dengan ketul-ketul batu pejal yang diambil dari lereng-lereng bukit tersebut.
Di sebelah arah timur yang menghala ke arah Sungai Selangor terdapat pintu kota yang terbuka dan dari arah itulah jalan berturap dengan ketul-ketul batu yang menghala ke kaki bukit lantas kearah sungai dari Pekan Kuala Selangor.

Kota Malawati dibentuk mengikut reka bentuk kota-kota dari barat dan dibuat kubu di setiap penjuru kota sebagai askar-askar berjaga. Kesan-kesan yang dapat dilihat di kota bersejarah pada masa ini ialah beberapa pucuk meriam besi buatan Belanda. Di sebelah hadapan pintu masuk yang berukuran  1.50m x 1.90m dan tebalnya kira-kira 45cm. Menurut lagenda, batu tersebut digunakan sebagai tempat memancung penderhaka-penderhaka semasa kota tersebut masih berfungsi dan sebagai pusat pertahanan dan tempat bersemayam raja-raja yang memerintah sementara satu cerita lisan yang lain pula ada mengaitkan batu tersebut pernah digunakan untuk memancung leher seorang gadis istana kerana melakukan perkara sumbang, benar atau tidak cerita tersebut sukar dipastikan kerana tidak ada sejarah yang tertulis menerangkan hak tersebut. 

Kota Melawati yang terletak di atas Bukit Selangor bukanlah kota atau kubu yang pertama terdiri di atas bukit tersebut. Sebelum terbina Kota Malawati, sudah ada tapak-tapak kubu atau kota di atas bukit itu. Seperti yang disebut dalam Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang, bahawa pada kurun ke 15 ada beberapa tempat di Selangor yang termasuk di bawah pengaruh kerajaan Melayu Melaka dan tempat-tempat tersebut sebagaimana yang disebut dalam Sejarah Melayu ialah Jeram, Kelang, Langat, Jugra dan Selangor. Nama Selangor sebagaimana yang disebut dalam Sejarah Melayu itu ialah daerah yang berhampiran dengan Kuala Sungai Selangor yang sekarang ini disebut Kuala Selangor.



BUKIT TANJONG KERAMAT / BUKIT BELANDA

Image

Bukit Tanjung Keramat ini terletak berhampiran dengan Bukit Malawati. Kedudukannya yang strategik berhampiran dengan Kuala Sungai Selangor dengan mudah dapat mengawasi angkatan tentera perang musuh dan juga sebagai lalulintas kapal.   Sebagai pusat pertahanan, puncak Bukit tanjung Keramat telah dibinakan sebuah kota sebagai benteng mempertahankan kerajaan Selangor dari serangan musuh.
Sultan Ibrahim ialah sultan yang bertanggungjawab ke atas pembinaan kota tersebut. Binaannya lebih banyak berunsurkan kebaratan (Belanda) dengan dilengkapi beberapa batang meriam. Dindingnya pula dibina timbunan tanah dan batu pejal. Semasa Belanda menawan Kuala Selangor pada tahun 1784, kota ini telah dinamakan dengan Kota Utrecht iaitu mengikut nama kapal perang yang digunakan oleh Van Brac, ketua Syarikat India Timur Belanda.

 

BUKIT RAJA

Image 

Bukit Raja terletak di atas sebuah bukit di permatang yang terletak di seberang Sungai Selangor kira-kira 2 km dari Pekan Kuala Selangor. Nama Bukit Raja bermula dari sebuah bukit yang pernah dijadikan kubu pertahanan kerajaan Melayu Selangor sekitar tahun 1784. Bukit ini pernah dijadikan perkampungan keluarga diraja dan disebabkan adanya penempatan oleh keluarga diraja maka bukit ini dinamakan Bukit Raja oleh penduduk tempatan. Kawasan Bukit Raja pada masa ini tinggal terbiar begitu sahaja dan berada dalam keadaan semak tanpa adanya usaha-usaha pemuliharaan dari pihak-pihak berkuasa.

 

PERAHU SEBATANG ATAU PERAHU JALUR

 

 

Perahu jalur atau dikenali sebangai perahu sebatang dipercayai antara kenderaan di air yang terawal dibina oleh manusia untuk tujuan pengangkutan. Apabila ilmu  mengenai penggunaan alatan batu atau benda  tajam telah berkembang di dalam masyarakat dahulu kala, mereka mula membuat kenderaan pengangkutan di air dengan menggunakan sebatang kayu yang dikeruk atau ditebuk. Perahu seperti ini diperbuat daripada sebatang kayu keras yang dibelah dua dan dipotong mengikut bentuk sebuah perahu. Permukaan pada bahagian tengahnya ditebuk hingga menghasilkan suatu ruang yang luas dari bahagian haluan hingga ke bahagian butiran. Ruang yang dihasilkan boleh memuatkan sehingga dua ke lima orang. Ia digunakan oleh penduduk kampung pesisir sungai sebagai alat pengangkutan untuk membawa penumpang, membawa barang keperluan harian dan melakukan aktiviti penangkapan ikan di pesisir pantai.

  

Perahu atau sampan yang dijumpai di kawasan Pantai Kelanang, Jugra, Kuala Langat di percayai merupakan sebuah perahu sebatang. Ia dijumpai pada 14 Ogos 2207 oleh seorang penduduk kampung dikawasan pesisir pantai  yang     tempatnya merupakan kawasan longgokkan kayu-kayu lama dan hanyut. Hasil daripada jumpaan tersebut dan keprihatinan penduduk kampung untuk memelihara khazanah lama ini, mereka telah melaporkannya kepada pihak Lembaga Muzium Selangor. Pada 18 Ogos 2007 jumpaan perahu tersebut telah dibawa ke Muzium Insitu Jugra.

 

 

 

 

 

 
2010 PERBADANAN ADAT MELAYU DAN WARISAN NEGERI SELANGOR (PADAT)
Penafian: PADAT adalah tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa kehilangan atau kerugian
yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat, atau daripada kesilapan kandungan di dalam laman web ini.