Bukit Raja

bukitraja

Bukit Raja terletak di atas sebuah bukit di permatang yang terletak di seberang Sungai Selangor kira-kira 2 km dari Pekan Kuala Selangor. Nama Bukit Raja bermula dari sebuah bukit yang pernah dijadikan kubu pertahanan kerajaan Melayu Selangor sekitar tahun 1784. Bukit ini pernah dijadikan perkampungan keluarga diraja dan disebabkan adanya penempatan oleh keluarga diraja maka bukit ini dinamakan Bukit Raja oleh penduduk tempatan. Kawasan Bukit Raja pada masa ini tinggal terbiar begitu sahaja dan berada dalam keadaan semak tanpa adanya usaha-usaha pemuliharaan dari pihak-pihak berkuasa.

Bukit Tanjong Keramat / Bukit Belanda

bukirbelanda

Bukit Tanjung Keramat ini terletak berhampiran dengan Bukit Malawati. Kedudukannya yang strategik berhampiran dengan Kuala Sungai Selangor dengan mudah dapat mengawasi angkatan tentera perang musuh dan juga sebagai lalulintas kapal. Sebagai pusat pertahanan, puncak Bukit tanjung Keramat telah dibinakan sebuah kota sebagai benteng mempertahankan kerajaan Selangor dari serangan musuh. Sultan Ibrahim ialah sultan yang bertanggungjawab ke atas pembinaan kota tersebut. Binaannya lebih banyak berunsurkan kebaratan (Belanda) dengan dilengkapi beberapa batang meriam. Dindingnya pula dibina timbunan tanah dan batu pejal. Semasa Belanda menawan Kuala Selangor pada tahun 1784, kota ini telah dinamakan dengan Kota Utrecht iaitu mengikut nama kapal perang yang digunakan oleh Van Brac, ketua Syarikat India Timur Belanda.

Kota Malawati

batuhampar

Kota Malawati terletak di atas sebuah bukit di belakang Pekan Kuala Selangor dan bukit tersebut dikenali sebagai ‘Bukit Selangor’. Di atas bukit itu juga terdapat kompleks makam - makam Sultan Selangor yang terdiri dari Makam Sultan Salehuddin, Sultan Selangor yang pertama (1756-1779), Makam Sultan Ibrahim Syah, Sultan Selangor yang kedua (1778-1826) dan Makam Sultan Muhammad Syah, Sultan Selangor yang ketiga (1826-1857) serta makam keluarga di raja yang lain.
Berhampiran dengan kota terdapat Rumah Api dan beberapa buah rumah kediaman pegawai-pegawai kerajaan manakala bangunan yang hampir sekali dengan benteng kota tersebut ialah Menara Pemancar Radio dan Rumah Rehat Kerajaan.

Pelawat-pelawat yang ingin melawat kota yang bersejarah ini boleh menggunakan jalan bertar dari Pekan Kuala Selangor menuju ke puncak bukit tersebut. Bagi yang gemar berjalan kaki, mereka boleh mendaki dari Pekan Kuala Selangor, para pelawat boleh berkereta hingga sampai ke pinggir kota.

Kota Malawati berbentuk segiempat dibuat daripada timbunan tanah dan ketul-ketulan batu pejal yang disusun oleh tukang-tukang kayu yang mahir. Luas kota tersebut adalah kira-kira 74m x 30m, benteng kota ditambak dengan tanah kira-kira 2m tingginya dari paras dalam kota dan pada batang sebelah timur bahagian luarnya disusun dengan ketul-ketul batu pejal yang diambil dari lereng-lereng bukit tersebut.Di sebelah arah timur yang menghala ke arah Sungai Selangor terdapat pintu kota yang terbuka dan dari arah itulah jalan berturap dengan ketul-ketul batu yang menghala ke kaki bukit lantas kearah sungai dari Pekan Kuala Selangor.

Kota Malawati dibentuk mengikut reka bentuk kota-kota dari barat dan dibuat kubu di setiap penjuru kota sebagai askar-askar berjaga. Kesan-kesan yang dapat dilihat di kota bersejarah pada masa ini ialah beberapa pucuk meriam besi buatan Belanda. Di sebelah hadapan pintu masuk yang berukuran 1.50m x 1.90m dan tebalnya kira-kira 45cm. Menurut lagenda, batu tersebut digunakan sebagai tempat memancung penderhaka-penderhaka semasa kota tersebut masih berfungsi dan sebagai pusat pertahanan dan tempat bersemayam raja-raja yang memerintah sementara satu cerita lisan yang lain pula ada mengaitkan batu tersebut pernah digunakan untuk memancung leher seorang gadis istana kerana melakukan perkara sumbang, benar atau tidak cerita tersebut sukar dipastikan kerana tidak ada sejarah yang tertulis menerangkan hak tersebut.

Kota Melawati yang terletak di atas Bukit Selangor bukanlah kota atau kubu yang pertama terdiri di atas bukit tersebut. Sebelum terbina Kota Malawati, sudah ada tapak-tapak kubu atau kota di atas bukit itu. Seperti yang disebut dalam Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang, bahawa pada kurun ke 15 ada beberapa tempat di Selangor yang termasuk di bawah pengaruh kerajaan Melayu Melaka dan tempat-tempat tersebut sebagaimana yang disebut dalam Sejarah Melayu ialah Jeram, Kelang, Langat, Jugra dan Selangor. Nama Selangor sebagaimana yang disebut dalam Sejarah Melayu itu ialah daerah yang berhampiran dengan Kuala Sungai Selangor yang sekarang ini disebut Kuala Selangor.

Gedung Raja Abdullah

gedung

Sebuah bangunan dua tingkat bercirikan senibina Inggeris dan mempunyai persamaan dengan Bangunan Balai Polis di Kota Bharu, Kelantan. Dibina oleh Raja Abdullah di Pekan Batu Klang di tebing Sungai Kelang pada tahun 1865 sebagai tempat kediaman dan menyimpan bijih timah. Raja Abdullah adalah merupakan wakil Sultan yang diperintahkan mengutip hasil dan memperdagangkan bijih timah yang dihasilkan di Lembah Klang.

Semasa berlaku Perang Saudara pada tahun 1866 di kawasan ini, rumah ini telah dijadikan sebagai kubu pertahanan orang-orang Raja Mahadi yang berkubu di Kota Raja Mahadi yidak jauh dari kawasan ini. Residen Inggeris Pertama J.G Davidson menjadikan Gedung ini sebagai Pusat Pentadbiran Daerah yang kemudiannya dijadikan Balai Polis Daerah hingga tahun 1970 dan dijadiakan Muzium Timah dan kini dalam proses pembaikpulih.

Makam Diraja Lama Jugra

makam1

Makam Diraja Jugra merupakan sebahagian dari bukit Jugra yang telah dipilih sebagai kawasan permakaman keluarga Diraja Selangor pada sekitar tahun 1886. Kawasan ini juga di kenali sebagai kompleks Makam Diraja dan secara keseluruhanya, kawasan permakaman ini berpagar. Antara makam yang terdapat dalam Kompleks ini adalah Makam Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Tengku Abdullah yang telah mangkat pada bulan Februari 1898.

Memerintah dari tahun 1859 hingga 1898, Manakala makam-makam lain yang telah terletak dibahagian luar Kompleks antaranya adalah Makam Almarhum Tengku Muda Musa, Makam Almarhumah Tunku Alfah binti Almarhum Sultan Yaakob, Almarhum Tunku Maharum, Almarhum Raja Berkat, Makam Almarhumah Tengku Muteh Ibni Sultan Abdul Samad dan Yang Mulia Raja Kahar. Makam Sultan Abdul Samad terletak di atas Bukit Jugra meliputi kawasan seluas 5 ekar, terdapat antara lain binaan kompleks Makam DiRaja Jugra yang mana merupakan makam Sultan Abdul Samad.