Kota Malawati

batuhampar

Kota Malawati terletak di atas sebuah bukit di belakang Pekan Kuala Selangor dan bukit tersebut dikenali sebagai ‘Bukit Selangor’. Di atas bukit itu juga terdapat kompleks makam - makam Sultan Selangor yang terdiri dari Makam Sultan Salehuddin, Sultan Selangor yang pertama (1756-1779), Makam Sultan Ibrahim Syah, Sultan Selangor yang kedua (1778-1826) dan Makam Sultan Muhammad Syah, Sultan Selangor yang ketiga (1826-1857) serta makam keluarga di raja yang lain.
Berhampiran dengan kota terdapat Rumah Api dan beberapa buah rumah kediaman pegawai-pegawai kerajaan manakala bangunan yang hampir sekali dengan benteng kota tersebut ialah Menara Pemancar Radio dan Rumah Rehat Kerajaan.

Pelawat-pelawat yang ingin melawat kota yang bersejarah ini boleh menggunakan jalan bertar dari Pekan Kuala Selangor menuju ke puncak bukit tersebut. Bagi yang gemar berjalan kaki, mereka boleh mendaki dari Pekan Kuala Selangor, para pelawat boleh berkereta hingga sampai ke pinggir kota.

Kota Malawati berbentuk segiempat dibuat daripada timbunan tanah dan ketul-ketulan batu pejal yang disusun oleh tukang-tukang kayu yang mahir. Luas kota tersebut adalah kira-kira 74m x 30m, benteng kota ditambak dengan tanah kira-kira 2m tingginya dari paras dalam kota dan pada batang sebelah timur bahagian luarnya disusun dengan ketul-ketul batu pejal yang diambil dari lereng-lereng bukit tersebut.Di sebelah arah timur yang menghala ke arah Sungai Selangor terdapat pintu kota yang terbuka dan dari arah itulah jalan berturap dengan ketul-ketul batu yang menghala ke kaki bukit lantas kearah sungai dari Pekan Kuala Selangor.

Kota Malawati dibentuk mengikut reka bentuk kota-kota dari barat dan dibuat kubu di setiap penjuru kota sebagai askar-askar berjaga. Kesan-kesan yang dapat dilihat di kota bersejarah pada masa ini ialah beberapa pucuk meriam besi buatan Belanda. Di sebelah hadapan pintu masuk yang berukuran 1.50m x 1.90m dan tebalnya kira-kira 45cm. Menurut lagenda, batu tersebut digunakan sebagai tempat memancung penderhaka-penderhaka semasa kota tersebut masih berfungsi dan sebagai pusat pertahanan dan tempat bersemayam raja-raja yang memerintah sementara satu cerita lisan yang lain pula ada mengaitkan batu tersebut pernah digunakan untuk memancung leher seorang gadis istana kerana melakukan perkara sumbang, benar atau tidak cerita tersebut sukar dipastikan kerana tidak ada sejarah yang tertulis menerangkan hak tersebut.

Kota Melawati yang terletak di atas Bukit Selangor bukanlah kota atau kubu yang pertama terdiri di atas bukit tersebut. Sebelum terbina Kota Malawati, sudah ada tapak-tapak kubu atau kota di atas bukit itu. Seperti yang disebut dalam Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang, bahawa pada kurun ke 15 ada beberapa tempat di Selangor yang termasuk di bawah pengaruh kerajaan Melayu Melaka dan tempat-tempat tersebut sebagaimana yang disebut dalam Sejarah Melayu ialah Jeram, Kelang, Langat, Jugra dan Selangor. Nama Selangor sebagaimana yang disebut dalam Sejarah Melayu itu ialah daerah yang berhampiran dengan Kuala Sungai Selangor yang sekarang ini disebut Kuala Selangor.