Muzium Daerah Sabak Bernam

PENGENALAN SABAK BERNAM SEPINTAS LALU

Sabak Bernam merupakan salah satu daerah yang terpenting di Selangor. la mempunyai keluasan 242,560 ekar. Bersempadan dengan negeri Perak di sebelah utara, dimana Sungai Bernam sebagai pemisahnya. Bersempadan dengan daerah Hulu Selangor di bahagian timur, Kuala Selangor terletak di bahagian selatan, sementara di bahagian barat daya pula menghadap Selat Melaka. Secara umumnya daerah Sabak Bernam mempunyai tiga bandar utama yang penting dan menjadi pusat tumpuan penduduk di daerah ini. Bandar tersebut ialah Sekinchan, Sungai Besar dan Pekan Sabak Bernam sendiri. Masyarakat daerah ini terdiri daripada berbilang bangsa dan sebahagian besarnya terdiri daripada orang-orang Melayu. Dari dahulu hingga kini daerah ini sememangnya terkenal sebagai pusat pertanian dan penternakan.

msbernam1

SEJARAH ASAL USUL SABAK BERNAM

Mengikut sumber lisan, asal usul nama Sabak Bernam berasal dari perkataan "Sebab Berenam" yang mengisahkan tentang enam sahabat dalam perjalanan menyusuri sungai tetapi dihalangi sebatang kayu yang merentangi sungai tersebut. Dengan ikhtiar enam sahabat tersebut akhirnya kayu itu dapat dialihkan. Disebabkan peristiwa tersebut tempat terbabit akhirnya dinamakan sebagai 'Sebab Berenam' dan akhirnya berubah menjadi Sabak Bernam. Penduduk awal daerah Sabak Bernam ini asalnya terdiri daripada orang-orang 'Bajau Laut' namun pada hari ini ia telah berkembang pesat dan dihuni oleh masyarakat yang terdiri daripada berbilang kaum. Sejak abad ke 17 Sabak Bernam telah dikenali sebagai sebuah jajahan di Negeri Selangor. Dalam tahun 1784, Sabak Bernam pernah menjadi tempat perlindungan Sultan Ibrahim dalam peperangan menentang Belanda. Dalam tahun 1824 ia telah dikuasai oleh Sultan Ibrahim bersama pengikutnya termasuklah puteranya Raja Unos dan sahabatnya Raja Haji. Raja Unos telah mendirikan kotanya di seberang Selangor (Pekan Sabak Bernam kini) sementara Raja Haji pula telah mendirikan kota di seberang Perak yang kini lebih dikenali sebagai Kampung Kota. Tahun berikutnya, Putera Sultan Ibrahim iaitu Raja Muhammad (1826-1857) telah diberi pengikhtirafan dan berkuasa sepenuhnya ke atas Daerah Sabak Bernam.

SEJARAH RINGKAS PERTANIAN DAN PERIKANAN SELANGOR

Kegiatan utama masyarakat di Selangor diperingkat awal khususnya di daerah Sabak Bernam adalah pertanian. Masyarakat awal ketika itu mengusahakan dua bentuk tanaman iaitu huma dan sawah. Tanaman huma melibatkan pembersihan hutan untuk satu atau dua musim tanaman yang terdiri daripada tanaman sayur-sayuran. Tanaman sawah atau bendang pula melibatkan tanaman padi.

Sehingga pertengahan kurun ke 19, Selangor adalah diantara pengeluar pertanian utama negara terutamanya pengeluaran beras. Pencapaian ini adalah hasil usaha pemerintahan Selangor yang pada ketika itu, Almarhum Sultan Muhammad (1826-1857) yang mewajibkan rakyatnya menanam padi disamping tanaman-tanaman kontan lainnya. Bagaimanapun, perang saudara yang tercetus antara tahun 1866-1873 telah mengakibatkan kerosakan kepada sawah padi dan hasil tanaman lainnya. Kehilangan besar nyawa kesan dari pertempuran tersebut juga membawa kepada kemerosotan pengeluaran berasaskan pertanian. Namun, selepas kemerdekaan terutamanya melalui dasar kerajaan untuk memajukan taraf ekonomi dan sara hidup masyarakat, sektor pertanian di Selangor kembali mendapat tempat, kempen buku hijau dan dasar ekonomi baru telah berjaya menghidupkan kembali kemerosotan pengeluaran yang berlaku di zaman-zaman sebelumnya. Hari ini dengan galakan kerajaan terutamanya dalam menekankan tentang bio-teknologi sedikit sebanyak telah melonjakkan pengeluaran pertanian di Selangor terutamanya di era Selangor Maju 2005.

Sektor perikanan awal di Selangor pula bermula dan berkembang secara agak perlahan, masyarakat tradisional menangkap ikan menggunakan peralatan yang terhad seperti jala, pukat, bubu dan sebagainya. Kesemua kegiatan perikanan mereka berkisar di sekitar sawah, tali air, sungai dan di persisiran pantai. Walaupun begitu, perancangan jangka pendek dan panjang oleh pihak kerajaan telah mengubah sektor ini kepada lebih berdaya maju. Peralatan tradisi dahulunya telah diubah kepada peralatan teknikal yang canggih dan moden untuk meneroka laut dalam. Sejak kebelakangan ini, Selangor telah memperkenalkan perusahaan penternakan yang lebih efektif seperti penternakan dalam sangkar (air masin dan payau) yang merangkumi ternakan ikan, udang dan kerang selain daripada perternakan ikan air tawar.

MUZIUM DAERAH SABAK BERNAM

Muzium Daerah Sabak Bernam terletak di Jalan Pasar Pekan Sabak Bernam, bersebelahan dengan bangunan Perpustakaan Daerah dan berhadapan dengan Masjid Jamek Daerah Sabak Bernam dengan keluasan kira-kira 1135 kaki persegi. Secara umumnya, Muzium Daerah Sabak Bernam ini bertemakan warisan dan maklumat berhubung dengan sejarah pertanian dan perikanan di Daerah Sabak Bernam khasnya dan Negeri Selangor amnya. Ia adalah sebagai salah satu usaha kerajaan dalam menggalakkan kemasukan pelancong di negeri ini dan menjadikannya salah satu pusat sumber rujukan yang unggul kepada generasi masa kini dan akan datang.

sabak1

PAMERAN PERTANIAN

Pelbagai kronologi aktiviti pertanian yang dijalankan oleh penduduk Daerah Sabak Bernam khasnya dipamerkan. Diantaranya termasuklah penanaman padi huma dan sawah, pokok kelapa, pokok kelapa sawit, pisang, kopi, getah dan koko. Melalui ruang pameran yang disediakan, para pelawat juga dapat menyaksikan pelbagai koleksi pertanian tradisional yang pernah digunakan oleh masyarakat dahulu seperti kuku kambing, sabit, mesin getah, kipas padi, lesung kayu dan lain-lain.

sabak7

PAMERAN PERIKANAN

Selain bidang pertanian, sektor perikanan juga adalah sebahagian daripada komponen yang penting dalam memantapkan ekonomi Negeri Selangor. Justeru itu, Muzium Daerah Sabak Bernam ini turut mempamerkan dan memperlihatkan kronologi sejarah awal perikanan serta koleksi-koleksi perikanan tradisional yang digunakan oleh masyarakat awal di Selangor. Antara yang turut dipamerkan untuk tatapan pengunjung termasuklah peralatan jala, belat, lulung, lukah, pukat, bubu, tangguk, serkap dan sebagainya.

sabak3

REPLIKA RUMAH WARISAN

Selain bertemakan pertanian dan perikanan, Muzium Daerah Sabak Bernam ini turut menempatkan sebuah replika Rumah Warisan yang terletak berhampiran kawasan belakang bangunan Perpustakaan Daerah Sabak Bernam. Pengisian bagi rumah Warisan tradisional ini lebih menumpukan tentang sejarah awal bagi Daerah Sabak Bernam, ia termasuklah asal usul daerah itu sendiri dan latarbelakangnya, tokoh-tokoh terbilang, masjid-masjid lama, sekolah sekolah lama yang terdapat di daerah tersebut dan hasil jumpaan arkeologi di Lembah Bernam. Penampilan melalui pengisian Rumah Warisan ini sedikit sebanyak akan memberi ruang kepada pelawat untuk kembali menghayati suasana kampung tradisi.

sabak4sabak5

Dimana sejarah terus kekal…

Untuk keterangan lanjut sila hubungi:

MUZIUM DAERAH SABAK BERNAM
(PERTANIAN DAN PERIKANAN)
Jalan Pasar
45200 Sabak Bernam
Selangor Darul Ehsan
Malaysia
Tel: 603-3216 5586 / 3216 1225
Fax: 603-6216 5658

Muzium Sejarah Dan Permainan Kuala Selangor

 

Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor terletak 53km dari Bandaraya Shah Alam dan lebih kurang 40km dari Bandar Diraja, Klang. Bangunan muzium ini merupakan sebuah bangunan lama yang asalnya merupakan kediaman Rasmi Pegawai Daerah Kuala Selangor. Menyedari pentingnya sejarah Kuala Selangor untuk dikongsi bersama masyarakat,Lembaga Muzium Selangor mengambil inisiatif bersama kerajaan negeri untuk menubuhkan Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor di Bukit Malawati kepada umum.

Muzium ini menghimpunkan segala pensejarahan berhubung Kuala Selangor sebagai pusat pentadbiran Negeri Selangor terawal selain meyaksikan bermulanya Institusi Kesultanan Selangor yang diasaskan oleh Raja Lumu (Sultan Salehuddin) pada tahun 1766. Pameran di muzium ini yang berkonsepkan ‘mesra pengguna’ menyediakan tujuh seksyen yang menerangkan secara kronologi Sejarah Daerah Kuala Selangor. Teknik pameran yang interaktif dengan penggunaan info kiosk, diorama dan audio visual akan membantu para pengunjung memahami pameran dengan lebih mudah dan berkesan.

Seksyen 1
Seksyen 1 menerangkan kepada para pengunjung sepintas lalu mengenai lokasi daerah Kuala Selangor dan lapan daerah lain di Selangor. Selain itu ia juga turut menceritakan mengenai kepelbagaian etnik yang tinggal di Kuala Selangor pada awal kewujudannya. 

Seksyen 2
Pameran di ruangan ini menumpukan mengenai sejarah Selangor seperti asal usul nama negeri Selangor dan latar belakang penduduk awal Kuala Selangor yang terdiri daripada ‘Orang Laut’ atau nelayan. Di bahagian ini juga turut dijelaskan mengenai negeri Selangor sebagai antara kerajaan tertua di Semenanjung Tanah Melayu dan nama kerajaan Selangor yang juga disebut di dalam buku Sejarah Melayu oleh W.G. Shellebar.

Seksyen 3
Seksyen 3 menceritakan mengenai perkembangan Selangor sebagai sebuah entiti politik, bermula dari kedatangan dan penglibatan orang Bugis di Kuala Selangor diikuti oleh peperangan Sultan Ibrahim menentang Belanda, juga pembangunan Kuala Selangor sebagai pusat perdagangan pada abad ke-18 M.

Seksyen 4
Seksyen 4 mempamerkan mengenai sejarah pengasasan Kesultanan Selangor bermula dari penglibatan Opu Daeng Chelak, pelantikan Raja Lumu (Sultan Salehuddin) sebagai Sultan Selangor yang pertama, juga salasilah keturunan Sultan Selangor semenjak dari pemerintahan yang berpusat di Kuala Selangor sehingga perpindahan pusat pemerintahan di Jugra.

Seksyen 5
Ruangan ini menjelaskan tentang peranan Orang Besar Kuala Selangor dalam pentadbiran negeri Selangor dan turut mempamerkan koleksi peralatan yang digunakan oleh pembesar semasa menjalankan tugas. Selain itu bahagian ini turut menceritakan mengenai dua daerah tertua di Kuala Selangor iaitu Jeram dan Permatang dan situasi ketika pentadbiran British dari 1874 hingga1957 dan pendudukan Jepun pada 1941 hingga 1945.

Seksyen 6
Pameran di Seksyen 6 menerangkan tentang sejarah Kuala Selangor yang juga terkenal sebagai kota pertahanan ketika zaman kegemilangannya. Antara kota pertahanan dan bukit-bukit utama yang terdapat di Kuala Selangor adalah Bukit Malawati, Bukit Tanjung Keramat, Bukit Hospital, Bukit Jeram, Bukit Permatang dan Bukit Belimbing.

Seksyen 7
Seksyen 7 menceritakan mengenai tinggalan sejarah yang masih terdapat di Bukit Melawati sehingga ke hari ini. Kesemua tinggalan sejarah ini boleh dilawati kerana lokasinya yang berdekatan antara satu sama lain.

 

kuala2
Muzium Permainan Tradisional

KUALA SELANGOR BANDAR BERSEJARAH

ASAL USUL NAMA KUALA SELANGOR
Antara cerita yang mengaitkan nama Selangor adalah daripada sejenis binatang yang digelar ‘langau’. Seorang pahlawan yang sedang dalam perjalanan ke utara tewas oleh seekor langau yang menganggunya ketika berehat di tebing sungai. Akahirnya pahlawan tersebut telah meneroka kawasan tersebut dan dijadikan penempatan yang diberi nama Se-Langau dan akhirnya menjadi Selangor. Kononya juga nama Selangor berasal dari pokok Mentangau yang banyak terdapat di kawasan pinggir sungai. Pohonnya besar dan rimbun dan boleh dilihat dari laut. Ada diantara pedagang mengatakan ‘aku singgah di Kuala Sungai Mentangau’ seterusnya berkembang kepada Kuala Selangau dan akhirnya menjadi Kuala Selangor. Pendapat lain ada menyatakan Selangor berasal dari perkataan ‘salang’ dan ‘jemur’. Dikatakan Kuala Selangor menjadi tempat penyiksaan para penderhaka dengan cara disalang dan dijemur sehingga mati. Dua perkataan salang dan jemur dicantumkan menjadi ‘selangur’.

Kota Bukit Selangor atau Kota Malawati
Kota ini dibina dengan batu pejal yang tersusun rapat dan diletakkan beberapa pucuk meriam Pokok Jati dan Sena ditanam selang 10 kaki untuk mengelakkannya runtuh. Semasa Belanda menduduki Kuala Selangor kota ini diubahsuai dengan menambah beberapa pucuk meriam dan dinamakan Fort Altingburg. Mempunyai keluasan kira-kira 500 x 300 ela persegi. Mengandungi 3 tingkat iaitu:

  • Paling tinggi merupakan tapak istana (sekarang Rumah kediaman Pegawai Daerah )
  • Tingkat kedua merupakan Balai Diraja (semasa penjajahan British dijadikan gelanggang tenis)
  • Tanah lapang dan rata sebagai tempat perhimpunan tentera.Kota ini dibina dizaman pemerintahan Sultan Ibrahim untuk mempertahankan diri dari serangan musuh khususnya Belanda

Batu Hampar

 

Terletak di halaman istana Sultan di suatu kawasan tanah lapang sambil menuruni tiga mata anak tangga menghala ke matahari terbit terdapat seketul batu pejal empat persegi 5x5x11 kaki padu. Batu ini beralaskan longgokan tanah pasir sebagai kakinya. Batu ini dinamakan batu hampar dan setengahnya menamakan sebagai batu pemancung.

Busut Malawati
Kira-kira 120 meter dari batu hampar, arah ke timur lagi sambil menuruni beberapa anak tangga, jika mengarah pandangan ke hadapan akan tertumpu pemandangan ke sebuah busut di bina dari tanah seluas 20X20 kaki persegi dan tingginya melebihi 15 kaki. Pembinaannya sezaman dengan pemerintahan Sultan Ibrahim. Ada 2 Tujuan dibina iaitu sebagai tempat sultan berrehat-rehat dengan raja-raja dari negeri lain yang datang melawat ke Kuala Selangor sambil menyaksikan perlagaan ayam dan sebagai gedung menyimpan harta-harta kerajaan pada masa itu.

Makam Diraja


Terdiri daripada sebuah bangunan kira-kira 40 x 30 kaki persegi. Disinilah bersemadinya tiga pusara Al Marhum Sultan Selangor yang awal iaitu: Al Marhum Sultan Salehuddin, Al Marhum Sultan Ibrahim dan Al Marhum Sultan Muhammad.

Telaga Tujuh
Ada pendapat mengatakan dahulu disini wujudnya tujuh buah telaga Pendapat lain mengatakan bukannya tujuh buah telaga tetapi tujuh pancutan mata airnya ada dalam sebuah telaga. Air ditelaga ini dikatakan tidak pernah kering walaupun di musim kemarau dan tidak pernah susut walaupun beribu gelen air dikeluarkan dari perutnya.

Tangga Seratus
Tangga yang disusun dengan batu-batu pejal sebanyak seratus keping hinggalah bertemu ke penjuru Busut Malawati. Tangga ini digunakan oleh pedagang untuk ke istana Sultan di Bukit Selangor setelah menambat perahu , sampan dan bahtera mereka di Pangkalan Batu Buruk .

Kota Bukit Tanjung
Kota ini sebahagian besarnya dibina daripada tanah. Puncak Bukit Tanjung ditebuk sedalam 10 kaki sementara disekelilingnya tanah setebal 8 kaki. Di atas tembok tersebut ditanam pepohon besar dan beberapa pucuk meriam.

Keramat Anak Dara
Keramat Anak Dara atau Keramat Rubiah Terletak dihujung jalan ke Tanjung Keramat kira-kira sebatu dari bandar Kuala Selangor.Berada di atas bukit keramat setinggi 100 kaki dari aras laut di pinggir Tasik Shina.

Rumah Api Kota Malawati
Rumah Api Kota Malawati dibina pada tahun 1907 oleh penjajah British. Tingginya 83 kaki dari dasar laut dan 27 kaki dari darat Rumah api ini mempunyai tiga bahagian iaitu bawah, tengah dan atas.

Bukit Raja
Bukit Raja merupakan Kubu Pertahanan Raja Muda Nala Ibni Almarhum Sultan Salehuddin (1784-1795) sewaktu terjadinya peperangan pada tahun 1785 untuk menawan semula Bukit Malawati dari pihak Belanda . Peperangan tersebut berkesudahan dengan Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Salehuddin dan pengikutnya dari dari negeri Selangor dan Pahang berjaya menawan semula Bukit Malawati dari pihak Belanda. Di Bukit ini juga terdapat beberapa makam yang dipercayai makam kerabat Diraja Negeri Selangor.

Keterangan lanjut, sila hubungi:

MUZIUM SEJARAH DAERAH KUALA SELANGOR
No 1, Puncak Bukit Malawati,
45000 Kuala Selangor.
SELANGOR DARUL EHSAN.
Tel : 603- 3289 7167
Fax : 603- 3289 6115

Muzium Insitu Jugra

jugra

Bangunan asal Muzium Tapak Jugra ini merupakan Balai Polis Lama, Jugra di Daerah Kuala Langat. Kini kerja-kerja pengisian pameran sedang giat dijalankan.

13penjara jugra( konservasi)

Bangunan Balai Polis Lama, Jugra sebelum dan selepas konservasi

12

34

Muzium Insitu Jugra


Muzium ini terletak kira-kira 50 meter dari Pengkalan Batu Hampar di mukim Jugra dan Bandar, Kuala Langat. Muzium yang dibuka pada tahun 2012 ini pada asalnya merupakan sebuah balai polis daerah atau lebih dikenali sebagai ‘Rumah Pasung’. Bangunan ini berfungsi sebagai tempat untuk pesalah-pesalah jenayah menerima hukuman, menerusi sistem kehakiman British pada ketika itu yang mana bahagian atas merupakan sebuah mahkamah manakala tingkat bawah digunakan sebagai penjara
Ia telah dibina oleh Kapten Harry Charles Syers, seorang pegawai polis British pada tahun 1878. Bahan binaannya terdiri daripada batu pejal (granit) yang dipotong dalam bentuk empat segi untuk membentuk struktur bangunan supaya kukuh dan teguh. Bagi melindungi dan memelihara nilai sejarah dan warisan yang dimilikinya bangunan ini telah diwartakan sebagai monumen lama/tapak tanah bersejarah oleh Jabatan Warisan Negara pada 19 November 2002.
Muzium ini mempunyai tiga buah balai pameran yang mempamerkan pelbagai maklumat mengenai daerah Kuala Langat, sejarah pemerintahan kesultanan Selangor di Kuala Langat termasuklah hasil kerja-kerja ekskavasi di kawasan sekitarnya seperti strukur binaan penjara, mahkamah mini, perigi lama dan lain-lain.
Muizum Insitu Jugra mempunyai tapak khas pameran luar dimana terdapat sebuah kereta perisai model GMC 15 CWT yang telah digunakan oleh Polis Persekutuan Tanah Melayu ketika zaman darurat (sekitar tahun 1948-1960). Kereta perisai ini diletakkan dibahagian hadapan muzium dan ia menjadi tarikan utama pengunjung di sini.


Balai pameran A

         


Balai pameran ini membawa pengunjung untuk mengimbau sejarah dan kronologi perkembangan Daerah Kuala Langat yang merupakan pusat pentadbiran Selangor kedua selepas Kuala Selangor. Pameran dimulakan dengan asal usul nama Kuala Langat, sejarah Jugra, pasukan polis Selangor, rumah pasung, juga salasilah kesultanan Selangor.

Balai pameran B

                


Balai pameran ini mempamerkan kerja-kerja ekskavasi dan pemuliharaan bangunan tersebut yang dijalankan oleh pihak pengurusan Lembaga Muzium Selangor bermula tahun 2000 sehingga ia diubahsuai sebagai Muzium Insitu Jugra, Kuala Langat.


Balai pameran C

       


Terdapat banyak tinggalan sejarah dan tapak warisan di Kuala Langat yang boleh dilawati oleh para pelancong dari dalam mahupun luar negara. Di balai pameran ini terdapat maklumat mengenai tapak warisan lain yang terdapat di sekitar di daerah Kuala Langat seperti Istana Bandar, Masjid Sultan Ala’eddin Suleiman, Pejabat Daerah Lama Jugra, Makam Diraja Jugra, Perigi Lama, Stor Peluru dan Sekolah Kampung Bandar.

Muzium Insitu Jugra terletak dibawah kaki bukit Jugra dan berhampiran Sungai Langat iaitu kira-kira 70 km dari Bandaraya Shah Alam. Pada asalnya bangunan ini merupakan sebuah Balai Polis Lama dan mempunyai rumah pasung. Ia merupakan sebuah tinggalan bangunan dua tingkat dan berfungsi sebagai tempat untuk melaksanakan hukuman menerusi sistem kehakiman British yang digunapakai pada ketika itu. Bangunan ini telah dibina oleh Kapten Harry Charles Syers seorang Pegawai Polis British pada tahun 1875.

Bangunan ini dibina menggunakan batu pejal (granite) yang terdapat di kawasan tersebut. Batuan ini seterusnya dipotong empat segi untuk membentuk struktur bangunan supaya kukuh dan teguh. Bahagian atas bangunan ini digunakan sebagai mahkamah dan bahagian bawah sebagai penjara. Ia telah diwartakan oleh Jabatan Warisan Negara pada 19 November 2002.Pada 24 Mac 2012 yang lalu Muzium Insitu Jugra telah di rasmikan oleh Menteri Besar Selangor,Y.B Tan Sri Dato’ Sri Mohd Khalid Ibrahim.

Muzium Insitu Jugra telah dibuka kepada orang ramai mulai (17 Januari 2012) dari jam 9.30 pagi hingga 5.30 petang.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

MUZIUM INSITU JUGRA, KUALA LANGAT

Kampung Permatang Pasir
42700 Banting
Tel : 03-31201279

Muzium Sultan Alam Shah

lms

Penubuhan Muzium Negeri Selangor yang ketika ini dikenali dengan sebutan Muzium Sultan Alam Shah bermula apabila DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah berkenan menandatangani Enakmen No.6 Tahun 1975 Negeri Selangor bertarikh 27 Disember 1975.

msas1

Selepas beberapa tahun jerih-perih ia dirancang, maka pada 2 September 1989, muzium yang menjadi lambang pembangunan kebudayaan Negeri Selangor ini pun dirasmikan pembukaannya oleh DYMM Sultan Selangor di mana istiadat perasmiannya dilakukan dengan penuh acara tradisi Melayu. Pentadbiran muzium ini diletakkan di bawah tanggungjawab Lembaga Muzium Selangor.

dsc 8164

Bangunan muzium ini dibina di atas tanah seluas 12.95 hektar dan luas ruang lantainya ialah 41,538.46 meter persegi. Bangunan lima tingkat ini terdiri daripada dua tingkat ruang pejabat, tiga tingkat ruang pameran dan Dewan Pameran Daeng Menambun. Terdapat lima buah balai pameran iaitu Balai Sejarah, Balai Kebudayaan, Balai Sukan, Balai Warisan Alam Semulajadi dan Balai Islam serta Pameran Luar. Muzium ini juga dilengkapi dengan kemudahan seperti Pusat Sumber, Auditorium, Dewan Raja Lumu, Bilik Mesyuarat Daeng Perani dan Kemasik, Makmal Taksedemi dan Repositori.

 

Tanggal 18 Jun 2009,Lembaga Muzium Selangor telah bertukar nama menjadi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).Dahulunya ketika di bawah Lembaga Muzium Selangor,ia merupakan organisasi yang memberi tumpuan kepada aktiviti pameran,penyelidikan,penerbitan dan pengumpulan koleksi bagi muzium di negeri Selangor sejak tahun 1975 di bawah Enakmen No.6 Tahun 1975.Kini, PADAT di naungi oleh D.Y.M.M Sultan Selangor.Ia berfungsi khusus untuk membangun,memelihara dan menyebarluas adat Melayu dan warisan Negeri Selangor.Enakmen penubuhan Perbadanan tersebut (Enakmen No.4) telah mendapat perkenan D.Y.M.M Sultan Selangor pada tanggal 30 April 2009.

PADAT mempunyai tiga bahagian bagi menyokong fungsinya yang di ketuai oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif, antaranya:

  1. Bahagian Khidmat Pengurusan
  2. Bahagian Adat-adat Melayu dan Warisan
  3. Bahagian Permuziuman

 

Terletak di tengah Bandaraya Shah Alam, Muzium Sultan Alam Shah merupakan muzium negeri Selangor yang dibangunkan selepas penyerahan Kuala Lumpur kepada kerajaan pusat pada 1974. Muzium ini telah dirasmikan oleh Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 1989 dan dinamakan sempena Sultan Selangor ke-7 iaitu Sultan Hisamuddin Alam Shah.
Muzium yang berukuran 135,000 kaki persegi ini merupakan pusat khazanah warisan negeri Selangor dan mempunyai hampir 4,000 buah artifak yang ditempatkan di lima balai pameran iaitu balai sejarah, balai kebudayaan, balai warisan alam semulajadi, balai sukan dan balai Islam. Selain itu bangunan muzium ini juga turut dilengkapi dengan kemudahan lain seperti bilik repositori, makmal konservasi, auditorium, dewan dan balai pameran sementara.
Kepelbagaian artifak dan pameran menarik yang terdapat di muzium ini membolehkan para pengunjung untuk menerokai lebih mendalam mengenai sejarah dan pembangunan negeri Selangor serta menghargai keindahan budaya yang menjadi warisan masyarakat tempatan di negeri Selangor khususnya.

 

BALAI PAMERAN


1. Balai Sejarah

        

 

   

Balai ini mempamerkan pelbagai artifak prasejarah yang dijumpai di tapak penempatan awal manusia di Selangor. Seterusnya, sejarah pentadbiran Selangor dipamerkan melalui ruangan zaman Melaka-Johor, zaman Portugis-Belanda, kedatangan orang Bugis, pembukaan ibu kota, zaman penjajahan dan pra-kemerdekaan, sehinggalah Selangor mencapai status negeri maju pada tahun 2005. Antara koleksi menarik di balai ini adalah serpihan gendang dongson yang dipercayai hasil peninggalan dari zaman gangsa-besi.

2. Balai kebudayaan


Balai ini memaparkan kebudayaan masyarakat daripada pelbagai etnik di Selangor seperti Bugis, Jawa, Minang, Banjar, Mandiling, Rawa dan lain-lain. Keunikan budaya dan gaya hidup yang diamalkan oleh pelbagai etnik di Selangor dipamerkan melalui koleksi peralatan adat resam, kegiatan sastera dan kesenian. Selain itu terdapat juga pakaian dan peralatan tradisional seperti koleksi busana Melayu, alat-alat tembaga, alat bunyi-bunyian, dan senjata tradisional. Kepelbagaian budaya juga turut dihidupkan melalui pameran diorama menarik yang terdapat di balai ini.

3. Balai Warisan alam Semulajadi

 

Balai ini memaparkan mengenai kekayaan warisan alam semulajadi yang terdapat di Selangor. Kepelbagaian flora dan fauna di Selangor digambarkan melalui diorama terbuka dan haiwan yang diawet seperti spesis ikan, hidupan liar, binatang buas, spesis serangga, belalang, kupu-kupu dan lain-lain. Antara tarikan menarik yang dipamerkan ialah replika “Buaya Puchong”, buaya tembaga terbesar yang dijumpai di Semenanjung Malaysia. Selain itu, pengunjung juga boleh mengalami sendiri pengalaman memasuki gua batu melalui replika yang terdapat di balai ini.

4. Balai Sukan


Pameran di balai ini menceritakan mengenai sejarah bidang sukan dan ahli sukan terkenal di Selangor. Detik kegemilangan dan jasa anak-anak negeri Selangor dalam pelbagai bidang sukan yang diceburi diabadikan di balai pameran ini untuk tatapan generasi masa kini dan akan datang agar masyarakat terutamanya penduduk negeri Selangor dapat mengetahui, mempelajari dan memahami sumbangan ahli-ahli dan tokoh sukan berkenaan kepada Selangor dan negara Malaysia.

5. Balai Islam

 

Pameran di balai ini menumpukan tentang penerapan agama Islam di dalam budaya dan gaya hidup masyarakat tempatan termasuklah sejarah awal kedatangan dan perkembangan agama Islam di Selangor. Sebahagian daripada artifak menarik yang dipamerkan adalah model masjid-masjid lama, mimbar, beduk, kubah, bekas wuduk, tempayan, pinggan mangkuk, senjata, kitab-kitab lama dan sebagainya. Turut dipamerkan ialah mimbar masjid Selayang yang digunakan pada awal tahun 1880-an dan dipercayai merupakan mimbar paling tua di Selangor.

6. Pameran Luar


Selain daripada koleksi dan artifak di balai-balai pameran, terdapat juga koleksi Muzium Sultan Alam Shah yang dipamerkan di luar bangunan muzium. Antaranya ialah kereta mantan Menteri Besar Selangor yang pertama, kereta perisai model Ferret, kepala dan gerabak Keretapi Tanah Melayu, sistem radar dan kapal terbang.