Visi,Misi,Motto,Kod Etika & Nilai Murni

VISI

"Kearah Menjadikan Selangor Pusat Unggul Serantau Dalam Memartabatkan Adat Melayu dan Warisan Negeri

 
MISI

"Memperkasakan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor"

 
MOTTO

"Adat Melayu Dan Warisan Selangor Tonggak Peradaban Negeri"

 
MISI PERKHIDMATAN PELANGGAN PADAT

"Kepuasan Anda Khazanah Kami"

 
 
KOD ETIKA PERBADANAN ADAT MELAYU DAN WARISAN NEGERI SELANGOR


Kod Etika Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor digubal dan diterbitkan adalah sebagai garis panduan dan amalan kepada kakitangan PADAT dalam menjalankan amanah dan tanggunjawab yang telah diberikan.

2.         Sebagai Penjawat Awam yang diberi amanah untuk menjalankan tugas dengan penuh komitmen secara dedikasi yang tinggi kepada Kerajaan, hendaklah berpegang teguh kepada nilai-nilai teras seperti berikut:

'Integriti' bermaksud sentiasa meletakkan kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi

'Kejujuran' bermaksud sentiasa bersikap benar dan terbuka

'Objektiviti' bermaksud sentiasa memberikan nasihat atau membuat keputusan berdasarkan fakta-fakta dan hujah-hujah yang dianalisis secara mendalam

'Kesaksamaan' bermaksud sentiasa bertindak hanya berdasarkan merit sesuatu kes dalam memenuhi hasrat Kerajaan yang mewakili pelbagai aspirasi politik

'Bebas dari politik' bermaksud tidak melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan politik.

3.         Nilai-nilai teras ini dapat mewujudkan pentadbiran yang baik bagi memastikan prestasi dan kualiti yang tinggi tercapai. Kod Etika ini juga menggariskan tatakelakuan pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam berdasarkan nilai-nilai teras yang termaktub dalam Kod Etika ini.

 
Integriti

1.Melaksanakan tugas dan kewajipan dengan penuh tanggungjawab;

      
2.Sentiasa bertindak secara profesional agar sentiasa mendapat keyakinan yang kukuh dari pihak yang berurusan dengan anda;

      
3.Menentukan dana awam dan sumber-sumber yang lain digunakan secara teratur dan berkesan;

      
4.Mengendalikan urusan orang ramai seberapa yang boleh dengan adil, telus, cekap dan berkesan;

      
5.Mengendalikan maklumat seberapa yang boleh secara terbuka dan telus setakat yang dibenarkan oleh undang-undang;
       

6.Sentiasa patuh kepada undang-undang dan memastikan keadilan diurus dan ditadbir dengan sebaik-baiknya.
 

7.Tidak menyalahgunakan kedudukan rasmi, misalnya menggunakan maklumat-maklumat rasmi yang diperoleh untuk kepentingan diri atau pihak-pihak lain yang tidak berkaitan;
       

8.Tidak menerima hadiah, sogokan dan keraian atau apa-apa bentuk faedah daripada sesiapa jua yang boleh menjejaskan kredibiliti diri; atau
       

9.Tidak mendedahkan atau membocorkan rahsia rasmi tanpa kebenaran. Tanggungjawab ini terus dipikul walaupun telah meninggalkan atau bersara dari Perkhidmatan Awam.

 
Kejujuran
         

1.Membentangkan fakta sesuatu isu dengan sejelas-jelasnya dan segera membetulkan sebarang kesilapan dan kesalahan yang berlaku
             
     
2.Menggunakan hanya sumber-sumber yang diperuntukan dan yang dibenarkan untuk kepentingan umum sahaja.
             
     
3.Tidak mudah dipengaruhi oleh tekanan yang tidak berpatutan daripada mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan peribadi.

 
Objektiviti
     

1.Memberikan maklumat dan nasihat, terutama kepada Ketua Pegawai Eksekutif PADAT, berdasarkan fakta-fakta, bukti-bukti penemuan berserta opsyen-opsyen yang terpilih dengan setepat-tepatnya;
             
     
2.Mengambil keputusan ke atas sesuatu kes berdasarkan merit kes tersebut;
             
     
3.Mengambil perhatian terhadap sebarang nasihat dan pendapat daripada pakar-pakar profesional.
       
     
4.Tidak membiarkan atau meninggalkan sebarang fakta yang boleh dianggap relevan semasa menyediakan nasihat atau membuat keputusan;
             
     
5.Tidak menghalang pelaksanaan dasar-dasar yang telah diputuskan, seperti tidak melaksanakan atau tidak mengambil bahagian dalam pelaksanaan sebarang hasil daripada keputusan tersebut.

 
Kesaksamaan
     

1.Menjalankan tanggungjawab anda dengan adil dan saksama tanpa pilih kasih dalam memenuhi kehendak pelbagai pihak yang berurusan dengan anda.
           

2.Tidak bertindak secara pilih kasih atau prejudis atau melakukan diskriminasi ke atas seseorang individu atau pihak-pihak tertentu.

 
Bebas dari politik
       
     
1.Berkhidmat dengan sebaik-baiknya kepada Kerajaan dan sentiasa bebas daripada sentimen politik;
             
     
2.Sentiasa bertindak yang dapat mengekalkan keyakinan Kerajaan Negeri melalui hubungan yang sentiasa harmoni agar keyakinan itu dapat berterusan walaupun Kerajaan bertukar ganti;
             
     
3.Mematuhi larangan yang telah dikenakan agar tidak melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan politik.
       
     
4.Tidak bertindak mengikut pengaruh politik kepartian atau menggunakan jentera dan sumber-sumber Kerajaan untuk kepentingan parti-parti politik;
             
     
5.Tidak membenarkan pandangan politik persendirian mempengaruhi sebarang nasihat atau tindakan yang diberikan.


NILAI BERKAITAN DENGAN PERKEMBANGAN DIRI


Kepercayaan kepada Tuhan

Keyakinan wujudnya Tuhan sebagai pencipta alam dan mematuhi segala suruhan-Nya berlandaskan pegangan agama masing-masing selaras dengan prinsip Rukun Negara.

Amanah

Sikap bertanggungjawab yang boleh menimbulkan kepercayaan dan keyakinan orang lain.

Harga Diri

Keupayaan dan keyakinan diri agar mampu memulia dan menjaga maruah diri dalam kehidupan.

Bertanggungjawab

Kesanggupan diri seseorang untuk memikul dan melaksanakan tugas serta kewajipan dengan sempurna.

Hemah Tinggi


Beradab sopan dan berbudi pekerti mulia dalam pergaulan seharian.


Toleransi


Kesanggupan bertolak ansur, sabar dan mengawal diri bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham demi kesejahteraan hidup.
Berdikari


Kebolehan dan kesanggupan melakukan sesuatu tanpa bergantung kepada orang lain.
Kerajinan


Usaha yang berterusan penuh dengan semangat ketekunan, kecekalan, kegigihan, dedikasi dan berdaya maju dalam melakukan sesuatu perkara.
Kasih Sayang


Kepekaan dan perasaan cinta yang mendalam serta berkekalan yang lahir daripada hati yang ikhlas.
Keadilan


Tindakan dan keputusan yang saksama serta tidak berat sebelah.
Rasional


Boleh berfikir berdasarkan alasan dan bukti yang nyata dan dapat mengambil tindakan berasaskan pertimbangan yang wajar.
Kesederhanaan


Bersikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan tindakan sama ada dalam pemikiran, pertuturan atau perlakuan tanpa mengabaikan kepentingan diri dan orang lain.

 
NILAI BERKAITAN DENGAN KEKELUARGAAN

                                                 

 
Kasih Sayang terhadap Keluarga


Perasaan cinta, kasih dan sayang yang mendalam dan berkekalan terhadap keluarga.
Hormat dan Taat kepada Anggota Keluarga


Memuliakan setiap anggota keluarga dengan berinteraksi dan memberi layanan secara bersopan untuk mewujudkan keluarga yang harmoni.
Mengekalkan Tradisi Kekeluargaan


Menerima, menghormati dan mengamalkan sesuatu kebiasaan, adat dan kepercayaan yang diwarisi secara turun-temurun dalam keluarga.
Tanggungjawab terhadap Keluarga


Kewajipan yang harus dilaksanakan oleh setiap individu terhadap keluarga untuk melahirkan keluarga bahagia, meningkatkan imej dan menjaga maruah keluarga.

 

NILAI BERKAITAN DENGAN ALAM SEKITAR

 
Menyayangi dan Menghargai Alam Sekitar


Kesedaran tentang perlunya memelihara dan memulihara alam sekeliling untuk mengekalkan keseimbangan ekosistem.
Keharmonian antara Manusia dengan Alam Sekitar


Keadaan saling memerlukan hubungan yang harmonis antara manusia dengan alam sekeliling supaya kualiti kehidupan manusia dan alam sekeliling terpelihara.
Kemapanan Alam Sekitar


Pengekalan keseimbangan alam sekeliling sebagai tanggungjawab bersama untuk kesejahteraan hidup.
 
Peka terhadap Isu-isu Alam Sekitar


Prihatin terhadap persoalan yang berkaitan dengan alam sekeliling dan berusaha menyelesaikannya.

 
NILAI BERKAITAN DENGAN PATRIOTISME

 
Cinta Akan Negara


Perasaan sayang dan bangga kepada negara serta meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan diri.
Taat Setia kepada Raja dan Negara


Kepatuhan dan kesetiaan yang berkekalan kepada Raja dan Negara.

 
Sanggup Berkorban untuk Negara


Kerelaan melakukan atau menyerahkan sesuatu termasuk nyawa sebagai tanda kebaktian untuk negara.

 
                                             
 NILAI BERKAITAN DENGAN HAK ASASI MANUSIA

 

Melindungi Hak Kanak-kanak


Membela, memberi naungan dan memelihara hak kanak-kanak bagi menjamin kehidupan mereka yang sempurna.
Menghormati Hak Wanita


Melindungi dan mengiktiraf wanita sebagai individu yang boleh memberi sumbangan dalam pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.
Melindungi Hak Pekerja


Menghormati, menghargai dan mengiktiraf perkhidmatan, jasa dan sumbangan golongan pekerja dalam pembangunan negara.
Menghormati Hak Golongan Kurang Berupaya


Memberi layanan yang bersopan kepada golongan kurang berupaya supaya tidak berasa tersisih dan mengiktiraf mereka sebagai insan ciptaan Tuhan.
Melindungi Hak Pengguna


Membela dan memelihara hak individu untuk menjadi pengguna yang berilmu, mendapat perkhidmatan serta barangan yang berkualiti dan tidak mudah dieksploitasi.

 
NILAI BERKAITAN DENGAN DEMOKRASI

 
Mematuhi Peraturan dan Undang-undang


Menerima dan mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditentukan tanpa mengira sesiapa dan di mana seseorang itu berada.

 
Kebebasan Bersuara


Kebebasan berucap dan mengeluarkan fikiran dengan batasan tertentu bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman.
Kebebasan Beragama


Kebebasan setiap individu untuk menganuti dan mengamalkan agamanya seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia.
Penglibatan Diri dalam Pembangunan Negara


Kebebasan untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti pembangunan negara dengan mematuhi peraturan, undang-undang dan Perlembagaan Malaysia.
Sikap Keterbukaan


Bersedia memberi dan menerima pandangan, pembaharuan dan kritikan selaras dengan kebenaran fakta dan norma masyarakat Malaysia.

 
NILAI BERKAITAN DENGAN KEAMANAN DAN KEHARMONIAN

 
Hidup Bersama Secara Aman


Hidup berbaik-baik antara satu sama lain dengan mengutamakan kedamaian dan keharmonian hidup tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.
Saling Membantu dan Bekerjasama


Usaha yang baik dan membina yang dilakukan bersama pada peringkat individu, komuniti atau negara untuk mencapai sesuatu matlamat.
Saling Menghormati antara Negara


Menghargai dan memuliakan hubungan antara negara untuk menjamin kesejahteraan sejagat.

 
NILAI BERKAITAN DENGAN ADAT DAN WARISAN

 
Kesedaran Tentang Adat


Meningkatkan kesedaran orang ramai, merangsang rasa hormat dan melindungi kepelbagaian warisan hidup atau tidak ketara menerusi kerjasama antara Kerajaan dan komuniti ke peringkat serantau.
Penglibatan Diri Dalam Memperkenalkan Warisan


Memastikan warisan hidup atau tidak ketara negeri tidak pupus ditelan arus pemodenan.