Sejarah Penubuhan dan Latar Belakang

{gspeech}

Sejarah penubuhan Muzium Negeri Selangor telah pun bermula lebih awal lagi iaitu pada tahun 1987. Ketika itu Muzium Negeri Selangor yang ditubuhkan oleh pihak British bukanlah Muzium Selangor yang ada pada hari ini. Pengasasnya ketika itu ialah H.C. Syers. Usaha-usaha untuk mengumpulkan artifak-artifak zaman pra-sejarah untuk dipamerkan di muzium tersebut telah bermula sejak tahun 1894 lagi di mana J.P. Rodger telah menghadiahkan beberapa kapak atau beliung yang dikenali sebagai "Batu Lintar" pada masa itu kepada muzium tersebut.

Pada tahun 1905, apabila H.C. Robinson menjadi Kurator Muzium Negeri Selangor, beliau memperolehi beberapa kapak atau beliung batu (tetapi bukan daripada kawasan Selangor) untuk dipamerkan di Muzium tersebut. Menurut H.C. Robinson pula, banyak lagi alat-alat batu zaman pra-sejarah telah diperolehi antara tahun 1906-1907. Untuk beberapa lama sehingga tahun 1930-an, tidak memperlihatkan sebarang minat yang nyata terhadap penyelidikan pra-sejarah di kawasan ini pada tahap tersebut.

Pada zaman selepas merdeka, hampir setiap negeri di Malaysia telah mula menubuhkan muzium-muzium negeri sendiri. Muzium Negara pula telah dirasmikan pembukaannya pada 31 Ogos 1963. Bangunan ini telah dibina di atas tapak Muzium Negeri Selangor yang telah dibom semasa tercetusnya Perang Dunia Kedua. Muzium Negara menjadi milik Negeri Selangor sehingga tahun 1974 apabila DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sultan Selangor bersetuju melepas dan menyerahkan hak kedaulatan Baginda ke atas Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan demi merakam dan menunjukkan rasa tanggungjawab serta kecintaan Baginda terhadap keperluan dan kepentingan negara.

Bermula daripada titik peralihan di atas, Negeri Selangor masih belum mempunyai sebuah muzium yang tersendiri bagi menggantikan Muzium Negara di Kuala Lumpur. Apa yang ada ketika itu cumalah sebuah Muzium Mini (asalnya sebuah rumah kediaman Pegawai Daerah) yang terletak di Bukit Melawati di Kuala Selangor. Di bangunan inilah bermulanya peristiwa bersejarah berkaitan dengan Negeri Selangor dipapar dan dipamerkan untuk tatapan ramai.

Tanggal 18 Jun 2009,Lembaga Muzium Selangor telah bertukar nama menjadi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).Dahulunya ketika di bawah Lembaga Muzium Selangor,ia merupakan organisasi yang memberi tumpuan kepada aktiviti pameran,penyelidikan,penerbitan dan pengumpulan koleksi bagi muzium di negeri Selangor sejak tahun 1975 di bawah Enakmen No.6 Tahun 1975.Kini, PADAT di naungi oleh D.Y.M.M Sultan Selangor.Ia berfungsi khusus untuk membangun,memelihara dan menyebarluas adat Melayu dan warisanNegeri Selangor.Enakmen penubuhan Perbadanan tersebut (Enakmen No.4) telah mendapat perkenan D.Y.M.M Sultan Selangor pada tanggal 30 April 2009.

PADAT mempunyai tiga bahagian bagi menyokong fungsinya yang di ketuai oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif, antaranya:

  • Bahagian Khidmat Pengurusan
  • Bahagian Adat-adat Melayu dan Warisan
  • Bahagian Permuziuman

{/gspeech}