Minggu Teater ‘SelangorKu’ 2018

TPL_WARP_PUBLISH

LATAR BELAKANG

1. Minggu Teater Negeri Selangor adalah merupakan program himpunan penggiat, peminat, pelakon dan pelapis teater yang berada di Selangor. Program selama seminggu  ini akan diisi dengan persembahan teater oleh penggiat dan pengarah teater, bengkel teater serta pertandingan mono teater.

2. Mono Teater boleh didefinisikan sebagai drama pentas yang ditulis khusus untuk dimainkan atau dilakonkan oleh seorang pelakon. Pelakon tersebut mungkin memainkan satu watak atau lebih dari satu watak, bergantung pada naskhahnya.

3. Naskhah mono teater merupakan sebuah skrip drama pentas yang lengkap dan sempurna dari segi struktur dramatik atau plotnya, merangkumi elemen konflik, klimaks, dan peleraiannya yang tersendiri.

4. Panjang naskhah atau tempoh pementasan sesebuah mono teater bergantung pada naskhahnya. Lazimnya, mono teater merupakan sebuah persembahan pendek dengan tempoh persembahan antara 15 – 20 minit.

 

PENGANJUR/ PENYELARAS/ PENGARAHAN PRODUKSI

1. Program Minggu Teater SelangorKu ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor di bawah Stand-co Kebudayaan Negeri Selangor.

2. Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Selangor (MKNS) adalah pihak yang diberi tanggungjawab sebagai Penyelaras Program.

 OBJEKTIF

1. Memenuhi hasrat Kerajaan Negeri Selangor dalam memperkasakan kebudayaan dan kesenian negeri dalam bidang teater justeru, cadangan untuk mengadakan pertandingan dan bengkel ini dilihat satu mekanisme atau pendekatan yang sesuai dan tepat pada masanya.

2. Mencetus minat masyarakat agar memahami, mendekati dan menghayati mono teater sebagai salah satu bentuk teater yang semakin mendapat tempat khususnya dalam kalangan penggiat dan pengamal teater tanah air.

 

 PERSEMBAHAN TEATER

Persembahan teater ini akan menampilkan empat (4) buah teater koleksi negeri Selangor yang pengarahannya adalah terdiri daripada anak-anak negeri Selangor sendiri dan telah mendapat tempat dalam kelompok penggerak, penggiat dan penulis skrip persembahan teater di negeri Selangor dan Malaysia. Tajuk-tajuk teater yang ditampilkan merupakan naskah yang telah mendapat tempat di pertandingan-pertandingan teater tanah air.

 BENGKEL TEATER

Bengkel ini bertujuan untuk membuka ruang kepada mereka yang berminat untuk mencuba dalam bidang seni teater. Fokus utama diadakan bengkel ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang penulisan skrip serta teknik persembahan. Mensasarkan kepada 50 orang peserta yang akan mengikuti bengkel sehari yang akan dikendalikan oleh mereka yang punya latar belakang sebagai penulis buku-buku Selangor, kemudian diterjemahkan dalam bentuk skrip dan dipersembahkan dalam bentuk teater.

 PERTANDINGAN MONO TEATER TERBUKA SELANGOR

Pertandingan Mono Teater Terbuka SelangorKu ini bertujuan untuk menyemarakkan lagi industri teater di negeri Selangor dengan harapan akan lahir lebih ramai lagi pengkarya yang boleh membentuk lebih banyak kumpulan teater yang akhirnya akan menjana pendapatan kepada mereka dan negeri Selangor khususnya. Selain itu mereka juga harus bersedia untuk memperbanyakkan naskah teater bagi persediaan untuk memenuhi jadual persembahan-persembahan teater di masa-masa akan datang. PENYERTAAN ADALAH PERCUMA.

 

SYARAT-SYARAT PERTANDINGAN MONO TEATER SEMPENA MINGGU TEATER SELANGORKU 2018

 Syarat Umum

1. Penyertaan terbuka kepada persatuan yang anggotanya terdiri daripada warganegara Malaysia.

2. Penyertaan adalah TERHAD kepada satu (1) persatuan sahaja.

3. Peserta daripada setiap kumpulan dikehendaki menyertakan butir-butir lengkap yang disediakan dalam borang penyertaan. Semua butiran dalam borang penyertaan perlu dilengkapkan dan diserahkan kepada urus setia pertandingan sebelum atau selewat-lewatnya pada 28 November 2018. Sekiranya butiran yang diberikan palsu, penganjur berhak menolak penyertaan yang dihantar.

4. Urus setia dan kakitangan pihak penganjur utama (PADAT DAN MKNS) tidak dibenarkan menyertai pertandingan ini.

5. Pihak penganjur tidak akan bertanggungjawab terhadap kelewatan penerimaan borang penyertaan. Pihak penganjur juga tidak bertanggungjawab terhadap kerosakan atau kehilangan borang penyertaan.

6. Penganjur berhak menggunakan nama dan gambar ahli kumpulan untuk tujuan pengiklanan, percetakan dan publisiti tanpa bayaran honorarium.

7. Penganjur berhak menggunakan skrip pementasan dan apa-apa jua visual rakaman video, foto dan audio persatuan yang memasuki pertandingan ini untuk diterbitkan atau untuk sebarang tujuan lain.

8. Skrip dan dialog pelakon hendaklah menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya, kecuali kata pinjaman dalam bahasa lain yang diizinkan oleh pihak penganjur.

9. Skrip juga hendaklah berkisar cerita-cerita negeri Selangor sahaja.


Syarat Penyertaan

1. Setiap penyertaan mestilah tidak lebih daripada 5 orang. Jumlah ini merangkumi Pengarah, Pengurus Produksi, Pelakon, Penulis Skrip atau petugas lain yang difikirkan sesuai dalam sesebuah kumpulan. Nama ketua dan anggota kumpulan serta penulis skrip hendaklah diisi dengan lengkap dalam borang penyertaan.

2. Jumlah pelakon dalam pertandingan ditetapkan hanya SEORANG PELAKON sahaja dalam satu pementasan.

3. Masa untuk satu pementasan yang ditetapkan adalah tidak kurang 15 minit dan tidak lebih 20 minit termasuk persediaan.

4. Pihak penganjur pertandingan akan menilai setiap penyertaan dan skrip perlu emailkan kepada urus setia selewat-lewatnya pada 28 November 2018. Hanya 20 SKRIP YANG TERPILIH sahaja yang akan dipentaskan untuk pertandingan. Kuputusan juri skrip adalah muktamad dan sebarang bantahan tidak akan dilayan. Jika terdapat kumpulan yang tidak memenuhi kriteria syarat pertandingan, penyertaan kumpulan akan ditolak.

5. Pihak penganjur hanya menyediakan tempat dan kemudahan asas pementasan sahaja. Segala urusan teknikal atau apa-apa juga kelengkapan tambahan seperti props dan set pentas atau sebagainya merupakan urusan kumpulan sepenuhnya.

6. Skrip adalah bebas tetapi dilarang menyentuh perkara-perkara sensitif yang berkaitan perkauman, keselamatan negara, agama, budaya bangsa dan sebagainya di negeri Selangor dan di Malaysia.

7. Setiap penyertaan hendaklah disertakan skrip yang lengkap termasuk sinopsisnya yang ingin dipentaskan serta nama penulis skrip.

8. Kumpulan digalakkan menggunakan nama dalam bahasa Melayu yang bercitrakan budaya bangsa Malaysia untuk nama kumpulan.

9. Pihak penganjur tidak bertanggungjawab atas segala urusan cuti, pengangkutan dan kos ahli kumpulan untuk menyertai pertandingan ini. Semua urusan tersebut hendaklah diuruskan oleh setiap ahli kumpulan.

10. Pertandingan ini akan diadakan pada 7-9 Disember 2018 di Auditorium Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam. Pihak penganjur akan memaklumkan giliran pertandingan kepada setiap kumpulan yang layak berdasarkan skrip yang terpilih.


Tarikh Tutup Penyertaan adalah pada atau sebelum 28 hb November 2018

BORANG PENYERTAAN

(klik sini untuk borang Minggu Teater Negeri Selangor)