Muzium Sultan Alam Shah

lms

Penubuhan Muzium Negeri Selangor yang ketika ini dikenali dengan sebutan Muzium Sultan Alam Shah bermula apabila DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah berkenan menandatangani Enakmen No.6 Tahun 1975 Negeri Selangor bertarikh 27 Disember 1975.

msas1

Selepas beberapa tahun jerih-perih ia dirancang, maka pada 2 September 1989, muzium yang menjadi lambang pembangunan kebudayaan Negeri Selangor ini pun dirasmikan pembukaannya oleh DYMM Sultan Selangor di mana istiadat perasmiannya dilakukan dengan penuh acara tradisi Melayu. Pentadbiran muzium ini diletakkan di bawah tanggungjawab Lembaga Muzium Selangor.

dsc 8164

Bangunan muzium ini dibina di atas tanah seluas 12.95 hektar dan luas ruang lantainya ialah 41,538.46 meter persegi. Bangunan lima tingkat ini terdiri daripada dua tingkat ruang pejabat, tiga tingkat ruang pameran dan Dewan Pameran Daeng Menambun. Terdapat lima buah balai pameran iaitu Balai Sejarah, Balai Kebudayaan, Balai Sukan, Balai Warisan Alam Semulajadi dan Balai Islam serta Pameran Luar. Muzium ini juga dilengkapi dengan kemudahan seperti Pusat Sumber, Auditorium, Dewan Raja Lumu, Bilik Mesyuarat Daeng Perani dan Kemasik, Makmal Taksedemi dan Repositori.

 

Tanggal 18 Jun 2009,Lembaga Muzium Selangor telah bertukar nama menjadi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).Dahulunya ketika di bawah Lembaga Muzium Selangor,ia merupakan organisasi yang memberi tumpuan kepada aktiviti pameran,penyelidikan,penerbitan dan pengumpulan koleksi bagi muzium di negeri Selangor sejak tahun 1975 di bawah Enakmen No.6 Tahun 1975.Kini, PADAT di naungi oleh D.Y.M.M Sultan Selangor.Ia berfungsi khusus untuk membangun,memelihara dan menyebarluas adat Melayu dan warisan Negeri Selangor.Enakmen penubuhan Perbadanan tersebut (Enakmen No.4) telah mendapat perkenan D.Y.M.M Sultan Selangor pada tanggal 30 April 2009.

PADAT mempunyai tiga bahagian bagi menyokong fungsinya yang di ketuai oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif, antaranya:

  1. Bahagian Khidmat Pengurusan
  2. Bahagian Adat-adat Melayu dan Warisan
  3. Bahagian Permuziuman

 

Terletak di tengah Bandaraya Shah Alam, Muzium Sultan Alam Shah merupakan muzium negeri Selangor yang dibangunkan selepas penyerahan Kuala Lumpur kepada kerajaan pusat pada 1974. Muzium ini telah dirasmikan oleh Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 1989 dan dinamakan sempena Sultan Selangor ke-7 iaitu Sultan Hisamuddin Alam Shah.
Muzium yang berukuran 135,000 kaki persegi ini merupakan pusat khazanah warisan negeri Selangor dan mempunyai hampir 4,000 buah artifak yang ditempatkan di lima balai pameran iaitu balai sejarah, balai kebudayaan, balai warisan alam semulajadi, balai sukan dan balai Islam. Selain itu bangunan muzium ini juga turut dilengkapi dengan kemudahan lain seperti bilik repositori, makmal konservasi, auditorium, dewan dan balai pameran sementara.
Kepelbagaian artifak dan pameran menarik yang terdapat di muzium ini membolehkan para pengunjung untuk menerokai lebih mendalam mengenai sejarah dan pembangunan negeri Selangor serta menghargai keindahan budaya yang menjadi warisan masyarakat tempatan di negeri Selangor khususnya.

 

BALAI PAMERAN


1. Balai Sejarah

        

 

   

Balai ini mempamerkan pelbagai artifak prasejarah yang dijumpai di tapak penempatan awal manusia di Selangor. Seterusnya, sejarah pentadbiran Selangor dipamerkan melalui ruangan zaman Melaka-Johor, zaman Portugis-Belanda, kedatangan orang Bugis, pembukaan ibu kota, zaman penjajahan dan pra-kemerdekaan, sehinggalah Selangor mencapai status negeri maju pada tahun 2005. Antara koleksi menarik di balai ini adalah serpihan gendang dongson yang dipercayai hasil peninggalan dari zaman gangsa-besi.

2. Balai kebudayaan


Balai ini memaparkan kebudayaan masyarakat daripada pelbagai etnik di Selangor seperti Bugis, Jawa, Minang, Banjar, Mandiling, Rawa dan lain-lain. Keunikan budaya dan gaya hidup yang diamalkan oleh pelbagai etnik di Selangor dipamerkan melalui koleksi peralatan adat resam, kegiatan sastera dan kesenian. Selain itu terdapat juga pakaian dan peralatan tradisional seperti koleksi busana Melayu, alat-alat tembaga, alat bunyi-bunyian, dan senjata tradisional. Kepelbagaian budaya juga turut dihidupkan melalui pameran diorama menarik yang terdapat di balai ini.

3. Balai Warisan alam Semulajadi

 

Balai ini memaparkan mengenai kekayaan warisan alam semulajadi yang terdapat di Selangor. Kepelbagaian flora dan fauna di Selangor digambarkan melalui diorama terbuka dan haiwan yang diawet seperti spesis ikan, hidupan liar, binatang buas, spesis serangga, belalang, kupu-kupu dan lain-lain. Antara tarikan menarik yang dipamerkan ialah replika “Buaya Puchong”, buaya tembaga terbesar yang dijumpai di Semenanjung Malaysia. Selain itu, pengunjung juga boleh mengalami sendiri pengalaman memasuki gua batu melalui replika yang terdapat di balai ini.

4. Balai Sukan


Pameran di balai ini menceritakan mengenai sejarah bidang sukan dan ahli sukan terkenal di Selangor. Detik kegemilangan dan jasa anak-anak negeri Selangor dalam pelbagai bidang sukan yang diceburi diabadikan di balai pameran ini untuk tatapan generasi masa kini dan akan datang agar masyarakat terutamanya penduduk negeri Selangor dapat mengetahui, mempelajari dan memahami sumbangan ahli-ahli dan tokoh sukan berkenaan kepada Selangor dan negara Malaysia.

5. Balai Islam

 

Pameran di balai ini menumpukan tentang penerapan agama Islam di dalam budaya dan gaya hidup masyarakat tempatan termasuklah sejarah awal kedatangan dan perkembangan agama Islam di Selangor. Sebahagian daripada artifak menarik yang dipamerkan adalah model masjid-masjid lama, mimbar, beduk, kubah, bekas wuduk, tempayan, pinggan mangkuk, senjata, kitab-kitab lama dan sebagainya. Turut dipamerkan ialah mimbar masjid Selayang yang digunakan pada awal tahun 1880-an dan dipercayai merupakan mimbar paling tua di Selangor.

6. Pameran Luar


Selain daripada koleksi dan artifak di balai-balai pameran, terdapat juga koleksi Muzium Sultan Alam Shah yang dipamerkan di luar bangunan muzium. Antaranya ialah kereta mantan Menteri Besar Selangor yang pertama, kereta perisai model Ferret, kepala dan gerabak Keretapi Tanah Melayu, sistem radar dan kapal terbang.