Muzium Daerah Sabak Bernam

PENGENALAN SABAK BERNAM SEPINTAS LALU

Sabak Bernam merupakan salah satu daerah yang terpenting di Selangor. la mempunyai keluasan 242,560 ekar. Bersempadan dengan negeri Perak di sebelah utara, dimana Sungai Bernam sebagai pemisahnya. Bersempadan dengan daerah Hulu Selangor di bahagian timur, Kuala Selangor terletak di bahagian selatan, sementara di bahagian barat daya pula menghadap Selat Melaka. Secara umumnya daerah Sabak Bernam mempunyai tiga bandar utama yang penting dan menjadi pusat tumpuan penduduk di daerah ini. Bandar tersebut ialah Sekinchan, Sungai Besar dan Pekan Sabak Bernam sendiri. Masyarakat daerah ini terdiri daripada berbilang bangsa dan sebahagian besarnya terdiri daripada orang-orang Melayu. Dari dahulu hingga kini daerah ini sememangnya terkenal sebagai pusat pertanian dan penternakan.

msbernam1

SEJARAH ASAL USUL SABAK BERNAM

Mengikut sumber lisan, asal usul nama Sabak Bernam berasal dari perkataan "Sebab Berenam" yang mengisahkan tentang enam sahabat dalam perjalanan menyusuri sungai tetapi dihalangi sebatang kayu yang merentangi sungai tersebut. Dengan ikhtiar enam sahabat tersebut akhirnya kayu itu dapat dialihkan. Disebabkan peristiwa tersebut tempat terbabit akhirnya dinamakan sebagai 'Sebab Berenam' dan akhirnya berubah menjadi Sabak Bernam. Penduduk awal daerah Sabak Bernam ini asalnya terdiri daripada orang-orang 'Bajau Laut' namun pada hari ini ia telah berkembang pesat dan dihuni oleh masyarakat yang terdiri daripada berbilang kaum. Sejak abad ke 17 Sabak Bernam telah dikenali sebagai sebuah jajahan di Negeri Selangor. Dalam tahun 1784, Sabak Bernam pernah menjadi tempat perlindungan Sultan Ibrahim dalam peperangan menentang Belanda. Dalam tahun 1824 ia telah dikuasai oleh Sultan Ibrahim bersama pengikutnya termasuklah puteranya Raja Unos dan sahabatnya Raja Haji. Raja Unos telah mendirikan kotanya di seberang Selangor (Pekan Sabak Bernam kini) sementara Raja Haji pula telah mendirikan kota di seberang Perak yang kini lebih dikenali sebagai Kampung Kota. Tahun berikutnya, Putera Sultan Ibrahim iaitu Raja Muhammad (1826-1857) telah diberi pengikhtirafan dan berkuasa sepenuhnya ke atas Daerah Sabak Bernam.

SEJARAH RINGKAS PERTANIAN DAN PERIKANAN SELANGOR

Kegiatan utama masyarakat di Selangor diperingkat awal khususnya di daerah Sabak Bernam adalah pertanian. Masyarakat awal ketika itu mengusahakan dua bentuk tanaman iaitu huma dan sawah. Tanaman huma melibatkan pembersihan hutan untuk satu atau dua musim tanaman yang terdiri daripada tanaman sayur-sayuran. Tanaman sawah atau bendang pula melibatkan tanaman padi.

Sehingga pertengahan kurun ke 19, Selangor adalah diantara pengeluar pertanian utama negara terutamanya pengeluaran beras. Pencapaian ini adalah hasil usaha pemerintahan Selangor yang pada ketika itu, Almarhum Sultan Muhammad (1826-1857) yang mewajibkan rakyatnya menanam padi disamping tanaman-tanaman kontan lainnya. Bagaimanapun, perang saudara yang tercetus antara tahun 1866-1873 telah mengakibatkan kerosakan kepada sawah padi dan hasil tanaman lainnya. Kehilangan besar nyawa kesan dari pertempuran tersebut juga membawa kepada kemerosotan pengeluaran berasaskan pertanian. Namun, selepas kemerdekaan terutamanya melalui dasar kerajaan untuk memajukan taraf ekonomi dan sara hidup masyarakat, sektor pertanian di Selangor kembali mendapat tempat, kempen buku hijau dan dasar ekonomi baru telah berjaya menghidupkan kembali kemerosotan pengeluaran yang berlaku di zaman-zaman sebelumnya. Hari ini dengan galakan kerajaan terutamanya dalam menekankan tentang bio-teknologi sedikit sebanyak telah melonjakkan pengeluaran pertanian di Selangor terutamanya di era Selangor Maju 2005.

Sektor perikanan awal di Selangor pula bermula dan berkembang secara agak perlahan, masyarakat tradisional menangkap ikan menggunakan peralatan yang terhad seperti jala, pukat, bubu dan sebagainya. Kesemua kegiatan perikanan mereka berkisar di sekitar sawah, tali air, sungai dan di persisiran pantai. Walaupun begitu, perancangan jangka pendek dan panjang oleh pihak kerajaan telah mengubah sektor ini kepada lebih berdaya maju. Peralatan tradisi dahulunya telah diubah kepada peralatan teknikal yang canggih dan moden untuk meneroka laut dalam. Sejak kebelakangan ini, Selangor telah memperkenalkan perusahaan penternakan yang lebih efektif seperti penternakan dalam sangkar (air masin dan payau) yang merangkumi ternakan ikan, udang dan kerang selain daripada perternakan ikan air tawar.

MUZIUM DAERAH SABAK BERNAM

Muzium Daerah Sabak Bernam terletak di Jalan Pasar Pekan Sabak Bernam, bersebelahan dengan bangunan Perpustakaan Daerah dan berhadapan dengan Masjid Jamek Daerah Sabak Bernam dengan keluasan kira-kira 1135 kaki persegi. Secara umumnya, Muzium Daerah Sabak Bernam ini bertemakan warisan dan maklumat berhubung dengan sejarah pertanian dan perikanan di Daerah Sabak Bernam khasnya dan Negeri Selangor amnya. Ia adalah sebagai salah satu usaha kerajaan dalam menggalakkan kemasukan pelancong di negeri ini dan menjadikannya salah satu pusat sumber rujukan yang unggul kepada generasi masa kini dan akan datang.

sabak1

PAMERAN PERTANIAN

Pelbagai kronologi aktiviti pertanian yang dijalankan oleh penduduk Daerah Sabak Bernam khasnya dipamerkan. Diantaranya termasuklah penanaman padi huma dan sawah, pokok kelapa, pokok kelapa sawit, pisang, kopi, getah dan koko. Melalui ruang pameran yang disediakan, para pelawat juga dapat menyaksikan pelbagai koleksi pertanian tradisional yang pernah digunakan oleh masyarakat dahulu seperti kuku kambing, sabit, mesin getah, kipas padi, lesung kayu dan lain-lain.

sabak7

PAMERAN PERIKANAN

Selain bidang pertanian, sektor perikanan juga adalah sebahagian daripada komponen yang penting dalam memantapkan ekonomi Negeri Selangor. Justeru itu, Muzium Daerah Sabak Bernam ini turut mempamerkan dan memperlihatkan kronologi sejarah awal perikanan serta koleksi-koleksi perikanan tradisional yang digunakan oleh masyarakat awal di Selangor. Antara yang turut dipamerkan untuk tatapan pengunjung termasuklah peralatan jala, belat, lulung, lukah, pukat, bubu, tangguk, serkap dan sebagainya.

sabak3

REPLIKA RUMAH WARISAN

Selain bertemakan pertanian dan perikanan, Muzium Daerah Sabak Bernam ini turut menempatkan sebuah replika Rumah Warisan yang terletak berhampiran kawasan belakang bangunan Perpustakaan Daerah Sabak Bernam. Pengisian bagi rumah Warisan tradisional ini lebih menumpukan tentang sejarah awal bagi Daerah Sabak Bernam, ia termasuklah asal usul daerah itu sendiri dan latarbelakangnya, tokoh-tokoh terbilang, masjid-masjid lama, sekolah sekolah lama yang terdapat di daerah tersebut dan hasil jumpaan arkeologi di Lembah Bernam. Penampilan melalui pengisian Rumah Warisan ini sedikit sebanyak akan memberi ruang kepada pelawat untuk kembali menghayati suasana kampung tradisi.

sabak4sabak5

Dimana sejarah terus kekal…

Untuk keterangan lanjut sila hubungi:

MUZIUM DAERAH SABAK BERNAM
(PERTANIAN DAN PERIKANAN)
Jalan Pasar
45200 Sabak Bernam
Selangor Darul Ehsan
Malaysia
Tel: 603-3216 5586 / 3216 1225
Fax: 603-6216 5658