Muzium Insitu Jugra

jugra

Bangunan asal Muzium Tapak Jugra ini merupakan Balai Polis Lama, Jugra di Daerah Kuala Langat. Kini kerja-kerja pengisian pameran sedang giat dijalankan.

13penjara jugra( konservasi)

Bangunan Balai Polis Lama, Jugra sebelum dan selepas konservasi

12

34

Muzium Insitu Jugra


Muzium ini terletak kira-kira 50 meter dari Pengkalan Batu Hampar di mukim Jugra dan Bandar, Kuala Langat. Muzium yang dibuka pada tahun 2012 ini pada asalnya merupakan sebuah balai polis daerah atau lebih dikenali sebagai ‘Rumah Pasung’. Bangunan ini berfungsi sebagai tempat untuk pesalah-pesalah jenayah menerima hukuman, menerusi sistem kehakiman British pada ketika itu yang mana bahagian atas merupakan sebuah mahkamah manakala tingkat bawah digunakan sebagai penjara
Ia telah dibina oleh Kapten Harry Charles Syers, seorang pegawai polis British pada tahun 1878. Bahan binaannya terdiri daripada batu pejal (granit) yang dipotong dalam bentuk empat segi untuk membentuk struktur bangunan supaya kukuh dan teguh. Bagi melindungi dan memelihara nilai sejarah dan warisan yang dimilikinya bangunan ini telah diwartakan sebagai monumen lama/tapak tanah bersejarah oleh Jabatan Warisan Negara pada 19 November 2002.
Muzium ini mempunyai tiga buah balai pameran yang mempamerkan pelbagai maklumat mengenai daerah Kuala Langat, sejarah pemerintahan kesultanan Selangor di Kuala Langat termasuklah hasil kerja-kerja ekskavasi di kawasan sekitarnya seperti strukur binaan penjara, mahkamah mini, perigi lama dan lain-lain.
Muizum Insitu Jugra mempunyai tapak khas pameran luar dimana terdapat sebuah kereta perisai model GMC 15 CWT yang telah digunakan oleh Polis Persekutuan Tanah Melayu ketika zaman darurat (sekitar tahun 1948-1960). Kereta perisai ini diletakkan dibahagian hadapan muzium dan ia menjadi tarikan utama pengunjung di sini.


Balai pameran A

         


Balai pameran ini membawa pengunjung untuk mengimbau sejarah dan kronologi perkembangan Daerah Kuala Langat yang merupakan pusat pentadbiran Selangor kedua selepas Kuala Selangor. Pameran dimulakan dengan asal usul nama Kuala Langat, sejarah Jugra, pasukan polis Selangor, rumah pasung, juga salasilah kesultanan Selangor.

Balai pameran B

                


Balai pameran ini mempamerkan kerja-kerja ekskavasi dan pemuliharaan bangunan tersebut yang dijalankan oleh pihak pengurusan Lembaga Muzium Selangor bermula tahun 2000 sehingga ia diubahsuai sebagai Muzium Insitu Jugra, Kuala Langat.


Balai pameran C

       


Terdapat banyak tinggalan sejarah dan tapak warisan di Kuala Langat yang boleh dilawati oleh para pelancong dari dalam mahupun luar negara. Di balai pameran ini terdapat maklumat mengenai tapak warisan lain yang terdapat di sekitar di daerah Kuala Langat seperti Istana Bandar, Masjid Sultan Ala’eddin Suleiman, Pejabat Daerah Lama Jugra, Makam Diraja Jugra, Perigi Lama, Stor Peluru dan Sekolah Kampung Bandar.

Muzium Insitu Jugra terletak dibawah kaki bukit Jugra dan berhampiran Sungai Langat iaitu kira-kira 70 km dari Bandaraya Shah Alam. Pada asalnya bangunan ini merupakan sebuah Balai Polis Lama dan mempunyai rumah pasung. Ia merupakan sebuah tinggalan bangunan dua tingkat dan berfungsi sebagai tempat untuk melaksanakan hukuman menerusi sistem kehakiman British yang digunapakai pada ketika itu. Bangunan ini telah dibina oleh Kapten Harry Charles Syers seorang Pegawai Polis British pada tahun 1875.

Bangunan ini dibina menggunakan batu pejal (granite) yang terdapat di kawasan tersebut. Batuan ini seterusnya dipotong empat segi untuk membentuk struktur bangunan supaya kukuh dan teguh. Bahagian atas bangunan ini digunakan sebagai mahkamah dan bahagian bawah sebagai penjara. Ia telah diwartakan oleh Jabatan Warisan Negara pada 19 November 2002.Pada 24 Mac 2012 yang lalu Muzium Insitu Jugra telah di rasmikan oleh Menteri Besar Selangor,Y.B Tan Sri Dato’ Sri Mohd Khalid Ibrahim.

Muzium Insitu Jugra telah dibuka kepada orang ramai mulai (17 Januari 2012) dari jam 9.30 pagi hingga 5.30 petang.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

MUZIUM INSITU JUGRA, KUALA LANGAT

Kampung Permatang Pasir
42700 Banting
Tel : 03-31201279